SARIKEI: “Tidak ada perkataan yang mampu kami diucapkan selain terima kasih,” kata penerima bantuan baik pulih rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang.

Mereka yang ditemui dapat menarik nafas lega apabila rumah masing-masing kini berwajah baharu, selesa dan selamat untuk didiami.

Hasmayati Lelek, 66, dari Kampung Drahman Kria berkata, rumahnya sebelum ini tidak begitu sempurna untuk diduduki berikutan beberapa kerosakan dan dia tidak mampu membaikinya kerana kekangan kewangan.

HASMAYATI LELEK

Beliau merupakan salah seorang penerima di bawah Skim Penambaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) 2018 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang.

Menurutnya, bantuan itu memberikan keselesaan dan kegembiraan kepada mereka sekeluarga yang tinggal di rumah berkenaan.

“Ini rezeki dan mungkin juga anugerah Ramadan buat kami. Saya bersyukur sangat- sangat, ada yang bantu. Terima kasih tidak terhingga untuk wakil rakyat kami, Datuk Len Talif Salleh, ” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Menurut Hasmayati, keadaan rumah yang usang menyebabkannya bimbang terutama ketika musim hujan.

“Namun, saya gembira apabila mendapat tahu terpilih sebagai salah seorang yang menerima bantuan ini,” katanya.

Sementara itu, Siti Mat, 75, dari Kampung Selalang berkata, dia sangat terharu dengan bantuan yang diterimanya itu.

SITI MAT

Rumah yang didiaminya kini katanya, adalah tempat tinggal dia dan keluarganya sejak beberapa tahun lalu.

“Tidak dapat saya gambar perasaan gembira dan bersyukur selepas rumah saya tersenarai dalam program ini. Terima kasih di atas keprihatinan pihak yang terlibat khususnya di bawah kepemimpinan DUN N.41 Kuala Rajang,” ujarnya.

Dalam pada itu, terdapat beberapa lagi rumah di kawasan N41 Kuala Rajang masih dalam proses baikpulih di bawah skim berkenaan.