KUCHING: Cubaan seorang lelaki membelanjakan duit palsu di Fun Fair Siburan mengundang padah apabila dia ditangkap polis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Melbin Lisa, suspek berusia 35 tahun datang ke Fun Fair berkenaan semalam lebih kurang jam 7 malam.

Dia kemudian bermain permainan di salah sebuah gerai dan kemudian membayar menggunakan wang kertas bernilai RM100.

Namun wanita yang mengusahakan gerai terbabit mengesyaki wang kertas itu palsu dan bertengkar dengan suspek, sebelum mengambil keputusan menghubungi Balai Polis Siburan.

Bertindak atas maklumat, Merbin berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padawan pergi ke lokasi sekitar jam 10.40 malam dan hasil pemeriksaan mendapati wang kertas RM100 itu palsu.

Wang palsu RM100 yang digunakan suspek untuk berbelanja di Fun Fair Siburan.

“Suspek ditangkap di Megabite Cafe di pekan Siburan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah wang palsu itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Merbin berkata suspek sudah ditahan reman selama lima hari bermula 30 April hingga 4 Mei dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan didenda di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Katanya suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Sehubungan itu, Merbin menasihati masyarakat khasnya golongan peniaga agar berwaspada apabila melakukan transaksi melibat wang kertas supaya tidak menjadi mangsa penipuan wang palsu.

“Jika ada menerima wang palsu hendaklah dengan segera menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.