BAU: Pelumba Stewart Juhes merangkul gelaran juara keseluruhan Kejohanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Motocross Championship 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Litar Motocross Serikin kelmarin.

Dengan kemenangan tersebut Stewart, akan mewakili Malaysia pada Kejohanan Motocross FIM-Asia di Marang, Indonesia pada awal Julai 2019.

Beliau akan bersama Anlody Rutel bakal mewakili Sarawak pada perlumbaan di Kejohanan Motocross Championship Terbuka Indonesia nanti.

Kejohanan tersebut merupakan anjuran tahunan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dan ini merupakan kali ketiga dilaksanakan di Litar Serikin Bau.

Kejohanan tersebut telah berlangsung selama dua hari bermula dari 27 sehingga 28 April 2019.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep.

Kejohanan yang mendapat sambutan penyertaan dan pengunjung ini telah dikelolakan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Pejabat Daerah Bau, Kelab Region 1, Jawatankuasa Gawai Sales serta dibantu oleh Marshall dari SARSA, Ibu Pejabat Polis Daerah Bau, Bomba Bau, Jabatan Pertahanan Adam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Malaysia (RELA).

MENDAPAT SAMBUTAN… Kejohanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Motocross Championship 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Litar Motocross Serikin mendapat sambutan.
Timbalan Pengarah Jabatan Beli dan Sukan Negeri Sarawak, Zaini Abdul Aziz berkata, objektif perlumbaan ialah memberi pendedahan kepada belia yang mempunyai potensi sebagai pelumba untuk dicungkil kebolehan dan bakat dalam bidang permotoran.
Selain itu katanya, ia memperkenalkan dan memberi peluang kepada masyarakat di peringkat akar umbi mengenali sukan motorcross dengan lebih dekat dan komprehensif.
“Dalam pada itu, ia promosi dan mempertingkatkan sosio ekonomi masyarakat tempatan melalui sukan bermotor.
“Selain itu, memupuk perpaduan di kalangan komuniti belia permotoran yang terdiri dari berbilang kaum, menerusi penglibatan acara sukan permotoran motorcross yang amat popular dan diminati pada masa kini,” ujarnya.
Beliau berkata, sukan bermotor telah mendapat perhatian orang ramai terutama golongan belia.
Menurutnya, usaha bagi menggalak serta membangunkan sukan bermotor untuk melahirkan seramai mungkin pelumba perlu dipergiat secara berterusan dan menyeluruh.