Anak Sarawak berusia 7 tahun terbit buku

KUCHING: Sejarah tercipta apabila anak kelahiran Kuching dinobatkan sebagai antara penulis termuda di negeri ini.

Cynn Cheng mula menjadi pengarang buku apabila berjaya menghasilkan karya ketika berumur tujuh tahun.

Karya sulungnya dalam bahasa Inggeris, naskhah ringan seperti buku kanak-kanak berjudul ‘Playing Soccer’ mengajak golongan wanita supaya menyukai sukan bola sepak.

Cheng kini berusia lapan tahun yang meminati penulis buku tersohor dunia, Roald Dhal dan Enid Blyton berkata, idea untuk menulis buku tersebut datang daripada kakaknya, Fay Chen, 10 tahun.

“Playing Soccer” berjaya merangkul gelaran juara semasa pertandingan bercerita tahun lalu.

“Setelah itu, kakak saya memberi cadangan kepada ibu agar menerbitkan buku tersebut supaya dapat dibaca oleh orang lain,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak pada Program Karnival Kanak-kanak di Pustaka Negeri Sarawak di sini, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, semua ilustrasi dalam buku juga dilukis olehnya sendiri.

Anak pasangan Cheng Ho Chwen dan Irena Halim itu hanya bersekolah di rumah.

Menurut ibunya, kedua-dua anaknya itu bersekolah di rumah menggunakan khidmat guru persendirian.

“Saya sangat mementingkan pendidikan kepada mereka, oleh itu saya sebagai ibu akan memastikan pendidikan terbaik diberikan.

Kedua-dua anaknya fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

“Sekarang saya berusaha untuk mencari guru yang dapat mengajar mereka dalam bahasa lain Sarawak,” katanya.

Ibunya yang juga seorang suri rumah terkejut dengan penerimaan orang ramai terhadap buku tulisan anaknya.

“Buku yang diterbitkan pada 22 April tahun ini telah terjual lebih daripada 100 naskhah pada hari pertama prapelancaran,” jelasnya.

“Selain itu, buku itu kini boleh didapati dalam bentuk e-book yang ada di Kindle dan Amazon bagi memudahkan pelanggan membeli dan membaca hasil karya sulung Cynn.

Tambahnya lagi, akan ada empat projek terbaharu pengarang cilik itu pada penghujung tahun ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak