KUCHING: Pembinaan jalan ‘mising link’ yang menghubungkan Jalan Nyelong By-Pass ke Jalan Kwong Ming-Minah, dapat dijadikan jalan alternatif keluar masuk ke bandar Sarikei.

Datuk Sri Huang Tiong Sii (Repok-SUPP) semasa Perbahasan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Dun semalam berkata, kedua-dua jalan itu merupakan dua jalan yang agak kerap digunakan oleh pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua jalan ini pada penghujungnya menghala ke laluan utama Jalan Repok di mana terdapat beberapa buah sekolah di kawasan tersebut.

“Saya berpendapat, cara terbaik untuk mengatasi isu tersebut ialah dengan menghubungkan kedua-dua jalan dengan satu ‘link road’ yang menghubungkan kedua-dua jalan ini. Jalan penghubung ini hanya lebih kurang dua kilometer sahaja,” ujarnya.

Beliau menambah, pembinaan ‘missing link’ itu dapat mengurangkan kesesakan penggunaan pada jalan utama.

Datuk Sri Huang Tiong Sii

Tiong Sii juga mencadangkan agar Jalan Nyelong By-Pass dinaik taraf kepada jalan dua lorong dua hala bagi menampung peningkatan kadar penggunaan jalan.

“Dengan terbinanya Jalan Pasi ke Tanjung Manis nanti, Lebuh Raya Pan Borneo siap sepenuhnya nanti dijangkakan kadar penggunaan jalan melalui Jalan Nyelong By-Pass akan meningkat khususnya kenderaan berat,” tegasnya.

Selain itu, katanya, beberapa kampung di dalam lingkungan kawasan Empangan Gerugu di kawasan Dun Repok masih belum mempunyai bekalan air terawat dan masih menggunakan sumber air dari sungai atau tadahan air hujan.

Justeru beliau memohon Kementerian Utiliti untuk membina projek bekalan air terawat di Kawasan Sare (khususnya untuk Rumah Jambing, Rumah Nila, Rumah Endawi dan kawasan sekitarnya) dan Kawasan Ulu Sarikei (khususnya untuk Rumah Sami, Rumah Udol, Rumah Juing dan kawasan sekitarnya).

“Empangan Gerugu yang menjadi sumber bekalan air mentah ke Loji Perawatan Air Bayong adalah antara pusat tadahan air besar yang mampu membekalkan air terawat hampir ke seluruh kawasan wilayah tengah Sarawak,” ujarnya.