GENAP 29 tahun Tanjung Manis dibangunkan dari kawasan hutan bakau menjadi bandar baharu seperti yang kita lihat hari ini.

Malah, kawasan ini juga dinaik taraf daripada sebuah daerah kecil ke daerah penuh pada 2016.

Tanjung Manis dijenamakan semula sebagai Pusat Pertubuhan Ekonomi Tanjung Manis atau T-Mega yang dilihat sebagai langkah strategik berikutan perkembangan positif pelbagai aktiviti ekonomi di kawasan itu.

Ini termasuklah industri halal, pemprosesan makanan, industri perkapalan, perikanan laut dalam, minyak dan gas, pemprosesan kayu, pertanian, akuakultur dan lain-lain lagi.

Dalam tempoh jangka panjang Hab Halal Tanjung Manis melibatkan kawasan seluas 124,517 hektar dan berjaya menarik minat pelabur termasuk dari luar negara.

Malah penyertaan penduduk tempatan tidak pernah dilupakan melalui penyertaan bersama contohnya seperti program penanaman nanas secara komersial.

Dari segi pembangunan infrastrukur pula, Tanjung Manis sememangnya tidak ketinggalan.

Usaha terus dilaksanakan untuk menambah baik jalan raya ke kawasan kampung dan rumah panjang agar penduduk dapat berhubung ke jalan utama menuju ke projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score).

Pelaburan

Pada 2018, jumlah nilai pelaburan di Tanjung Manis untuk semua industri wujud di kawasan ini dianggarkan RM3.5 billon.

Nilai eksport kayu dan produk kayu di wilayah tengah pula adalah RM1.27 bilion.

Berhubung projek bekalan air pula, Tanjung Manis mempunyai Water Treatement Plant yang sudah pun siap sepenuhnya di bawah Lembaga Air Sibu, selain kemudahan telekomunikasi yang dinaik taraf kepada kabel fiber optik.

Sehubungan itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif menegaskan segala usaha mempertingkat kehidupan rakyat terus dilaksanakan kerana Sarawak mempunyai sebuah kerajaan yang cukup stabil, dan mampu memberi fokus terhadap tanggungjawabnya.

“Selain itu, pelbagai projek infra juga dilaksanakan oleh kerajaan di Tanjung Manis. Jumlah kos pembangunan infra oleh kerajaan tidak kurang daripada RM2 bilion. Pelaksanaannya bertujuan memudahkan kemasukan pelabur domestik dan luar negara.

“Di samping itu, sebanyak 40 unit rumah kedai juga dibina bagi memudahkan pelabur menggunakannya untuk tujuan operasi pejabat dan mengembangkan peluang perniagaan yang lain seperti hotel dan rumah tumpangan.

Berkhidmat

“Pada masa yang sama sejumlah 200 unit rumah untuk kakitangan kerajaan siap bagi menempatkan pegawai kerajaan yang berkhidmat di Daerah Tanjung Manis,” katanya.

Dalam pada itu, pembinaan bangunan Pusat Pentadbiran Tanjung Manis setinggi 16 tingkat pula bakal menjadi mercu tanda pembangunan di kawasan ini.

Bangunan itu menempatkan agensi kerajaan, dan dijangka siap pada 2021.

Ketika itu, penduduk Tanjung Manis berpeluang menikmati semua perkhidmatan yang diperlukan di bawah satu bumbung atau pun One Stop Centre dan sekali gus menjimatkan kos perjalanan dan masa.

Dengan pelaburan sedia ada dan akan datang, diunjurkan penduduk Tanjung Manis meningkat kepada 50,000 orang menjelang 2030 dengan peluang pekerjaan sebanyak 25,000 orang.

T-Mega memang menjanjikan masa depan yang cerah dan dengan penjenamaan semula dan bersedia menjadi destinasi pelaburan dalam dan luar negara.

Tidak cukup dengan itu, kawasan hutan bakau semula jadi yang luas serta jajaran pantai yang cantik, berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan strategik di kawasan Wilayah Tengah Sarawak.

Yang pasti, semua pelaksanaan projek pembangunan ini adalah untuk kesejahteraan rakyat Tanjung Manis.