SIBU: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membanyakkan sesi bersemuka dengan orangramai bagi memperkenal dan menerangkan dasar-dasar baharu yang diketengahkannya.

Anggota parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew berkata ini kerana masih ramai yang tidak sedar dasar-dasar baharu yang dilaksanakan kerajaan menerusi pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya kekurangan publisiti menjadi faktor yang menyebabkan ramai tidak sedar mengenai dasar-dasar ini, dan media tradisional tidak banyak menyumbang untuk menanganinya, sekaligus membawa kepada perasaan umum seolah-olah kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk menfaat rakyat.

“Rakyat lebih banyak bertumpu kepada media sosial, namun tidak banyak maklumat boleh diperoleh dari media ini, dan pada masa yang sama tidak semua maklumat diterbitkan dalam media tradisional. Jadi kami (PH) perlu melihat kepada perjumpaan terus dengan rakyat bagi tujuan ini,” katanya selepas merasmikan Program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat di sini hari ini.

Beliau berkata antara yang dilaksanakan oleh kerajaan PH yang masih ramai belum tahu ialah skim perlindungan kesihatan takaful percuma MySalam dan skim Peduli Kesihatan bagi kumpulan B40 (PeKa B40), dan menurutnya banyak yang perlu dilakukan bagi menyebar maklumat mengenai skim-skim ini supaya rakyat tidak terlepas daripada menerima manfaatnya.

— BERNAMA