KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak seharus mengabaikan rakyat mengenai isu kewarganegaraan.

Adun Bukit Assek Irene Mary Chang Oi Ling berkata jumlah sebenar rakyat Sarawak yang tiada kewarganegaraan adalah lebih tinggi daripada yang direkodkan termasuk permohonan yang tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara.

Irene juga berkata, terdapat dua dan tiga generasi keluarga tidak mendapat kewarganegaraan ketika beliau melawat Kapit.

“Kerajaan Sarawak seharusnya melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan rakyat kita sendiri.

“Masalah sosial sebegini menyebabkan mereka terjerumus kepada perjudian dan meminjam duit daripada ceti haram,” katanya membahas ucapan Yang di-Pertua Negeri di Dun, semalam.

Irene menambah, purata umur individu yang memohon bantuan untuk kewarganegaraan di Kapit ialah 30 tahun.

Kata Irene, Kerajaan Sarawak seharusnya memperkenalkan Kad Sarawak seperti dilakukan di Sabah.

“Pemegang Kad Sarawak hendaklah berusia 18 tahun ke bawah dan telah menetap sekian tahun di Sarawak. Ini akan memudahkan mereka bergerak bebas mencari kerja di Sarawak,” ujarnya.

Menurut Irene, anak-anak mereka juga berpeluang belajar di sekolah kerajaan dan diberi subsidi untuk yuran persekolahan dan skim simpanan pekerja untuk ibu bapa mereka.