KUCHING: Dana RM800,000 untuk Pusat Penjaja Haji Baki dan Dewan Haji Baki bernilai RM1 juta dipotong begitu saja selepas Kerajaan Pakatan Harapan memerintah hampir setahun.

Adun Batu Kitang Ir Lo Khere Chiang berkata demikian dalam perbahasannya pada persidangan hari kedua semalam.

Beliau juga tidak puas hati apabila projek tebatan banjir sebanyak RM250 juta yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga dikurangkan sejak awal 2018 termasuk peruntukan RM20 juta untuk SK Haji Baki di kawasan Batu Kitang.

“Tidak cukupkah Sarawak menyumbang sebahagian besar kepada tabung kerajaan persekutuan setiap tahun sebanyak 30 peratus hasil minyak dan 60 peratus hasil gas sehingga menyebabkan geran digantung dan bajet dikurangkan?” katanya.

Tambah beliau, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sering kali berkata di parlimen bahawa semua orang harus mempunyai status yang sama dan berkongsi hasil yang sama, maka sumber Sarawak perlu dikongsi dengan Malaya.

Malah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mengulangi bahawa Sarawak harus berkongsi sumber yang sama, termasuk dengan Kedah.

Katanya, tempat tersebut merupakan kampung halaman Perdana Menteri yang sudah mempunyai dua lapangan terbang dan baru-baru ini dianugerahkan lapangan terbang ketiga, Lapangan Terbang Kulim serta projek-projek utama bernilai RM 4.8 bilion.

Selain itu, Khere Chiang turut tidak puas hati apabila pembinaan jambatan Igan, Rambungan dan Batang Lupar dihentikan di Sarawak, tetapi 28 jambatan baharu diumumkan dan dijanjikan di Sabah oleh Menteri Kerja Raya yang merupakan Ahli Parlimen Selangau dan warga Sarawak.

Beliau turut meminta agar Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menaikkan cukai jualan ke atas eksport petroleum kepada sepuluh peratus daripada lima peratus apabila Malaya selalu menyatakan tiada wang untuk projek-projek yang diperlukan untuk memperbaiki kehidupan penduduk di luar bandar atau pedalaman.