SPAOH: Kumpulan nasyid terkenal tanah air, Rabbani bakal memeriahkan ambang Ramadan dengan penganjuran Spaoh Berselawat bersempena Jelajah Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (LAKIS) 2019 yang berlangsung di Masjid Darul Syifa, malam ini.

Pengerusinya Dr. Abang Ismail Abang Julhi memberitahu, program tahunan LAKIS kali ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran kumpulan Rabbani.

“Mereka akan memimpin program Spaoh Berselawat selepas solat Isyak bersama warga Spaoh.

“Justeru, saya serta rakan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Syifa dan Persatuan Kemajuan Melayu Saribas (PERKEMAS) Zon Spaoh menjemput dan mengalu-alukan kedatangan semua muslimin dan muslimat ke Spaoh malam ini,” katanya ketika ditanya lanjut, hari ini.

Program bermula sekitar 6:30 petang kemudian diikuti solat Maghrib secara berjemaah.

Sejurus itu diadakan tazkirah ambang Ramadan oleh Penasihat Akademi Baiki Diri Kuching Ustaz Azmi Saari sehingga Isyak.

Selepas solat Isyak, jemaah akan diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Imam Masjid Darul Syifa Ibrahim Madeli sebelum diteruskan dengan program berselawat.

LAKIS pada majlis yang sama bakal menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluaan asas kepada warga emas.