SARIKEI: Gandingan kerjasama penduduk merealisasikan penganjuran program berambeh pulam anjuran Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Serbaguna Kampung Jerijeh di sini, semalam.

Program bertambah seri dengan kehadiran isteri Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datin Asiah Awai.

Ketua Wanita PBB Jerijeh, Zaimah Arbi berkata, kejayaan penganjuran aktiviti yang diadakan sejak tujuh tahun itu turut dibantu Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jerijeh.

Datin Asiah Awai turut menghadiri program berambeh pulam di Dewan Masyarakat Kampung Jerijeh.

Menurutnya, pihaknya menyediakan lebih 50 jenis ulam-ulaman sebagai sajian istimewa kepada tetamu yang hadir dalam program berkenaan.

“Kesemua pelbagai jenis ulam-ulaman itu kami kumpul secara gotong royong sehari sebelum program dan disajikan mengikut cara dan adunan yang tersendiri. Program ini juga bermatlamat mempromosikan makanan tradisional masyarakat Jerijeh, di samping menyemai cara pemakanan sihat,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Beliau berkata, program diadakan bertujuan mengeratkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

Selain itu katanya, ia juga sebahagian aktiviti ikon Kampung Jerijeh yang mampu menjadi daya tarikan kepada pengunjung luar.

“Secara keseluruhan, saya gembira dengan kehadiran lebih 400 penduduk yang turut membantu menjayakan penganjurannya,” katanya.

Penduduk menyediakan ulam-ulaman dengan cara tersendiri.

Penduduk menyediakan ulam-ulaman dengan cara tersendiri.