KUCHING: Jabatan Kesihatan, melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) akan lebih agresif melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas individu atau syarikat didapati terlibat menjual produk kosmetik dan ubat ‘haram’ di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan CPF Benodict Apok Talin berkata, tindakan tersebut membuktikan jabatan memandang serius kesihatan dan keselamatan rakyat terutamanya pengguna produk berkenaan di negeri ini.

“Pelbagai taktik dan modus operandi digunakan termasuk memasarkannya melalui perkhidmatan atas talian bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Namun begitu, pihak kita berjaya menghalang aktiviti tersebut dengan menjalankan serbuan dalam negeri ini,” katanya kepada pemberita semasa Persidangan Farmasi Sarawak 2019 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, kejayaan terbesar pihaknya adalah melibatkan rampasan beberapa jenis produk tradisional Cina yang tidak berdaftar bernilai RM7.4 juta hasil saringan pemeriksaan di pintu masuk Pelabuhan Senari Kuching, seterusnya membawa kepada satu serbuan dilakukan pada 8 Januari lalu di gudang penyimpanan di sini.

Benodict Apok Talin

Tambahnya, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya mengenai kegiatan berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr. Jamilah Hashim menambah rampasan turut dilakukan di lapangan terbang dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Pihak kastam akan terlebih dahulu merujuk kepada pihak kita bagi memastikan bahan tersebut telah didaftarkan. Sekiranya tidak didaftarkan kita akan buat rampasan.

“Selain produk kosmetik ‘haram’, bekalan ubat daripada luar negara bagi tujuan rawatan boleh dirampas sekiranya melebihi jumlah atau kuantiti dibenarkan,” tegasnya.

Justeru pihaknya menasihati orang ramai agar sentiasa memastikan produk dibeli didaftarkan kepada KKM.

“Sesuatu produk belum didaftar atau disahkan KKM kerana dikhuatiri mengandungi bahan-bahan merbahaya, belum diuji dan boleh memudaratkan kesihatan.

“Orang ramai digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan produk meragukan sebagai usaha bersama kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan,” katanya.

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik menerusi laman npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

Aduan dan maklumat turut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi KKM menerusi laman www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di laman moh.spab.gov.my.