KUCHING: Kerajaan Sarawak mempunyai “hadiah” kepada kaum ibu yang bakal diumumkan pada masa sesuai.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengumuman yang dibuat itu nanti akan meringankan beban golongan ibu.

“Saya ada sesuatu untuk diumumkan kepada kaum ibu namun bukan sekarang.

“Pengumuman itu nanti adalah untuk kebajikan kaum ibu terutamanya selepas melahirkan anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan aplikasi Sarawak Pay di KK Super Mart di Kota Sentosa di sini, hari ini.

Tegas Abang Johari, selepas melahirkan anak, kaum ibu perlu dipantau terutamanya pemberian susu eksklusif kepada bayi mereka selama enam bulan.

“Malah, kita mengambil kira keperluan bayi dalam pengumuman itu nanti,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pengumuman itu dibuat dalam ucapan penggulunggan Persidangan Dun minggu depan atau sempena sambutan Hari Ibu pada Mei ini, Abang Johari menafikannya.

“Bukan, saya tidak umumkan pada Persidangan Dun nanti (minggu depan).

“Tunggulah, saya akan mengumumkan pada masa sesuai,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Sarawak mengumumkan Endowment Fund Sarawak (EFS) berjumlah RM1,000 untuk diberikan kepada semua bayi Sarawak yang lahir mulai tahun ini.

Dana itu diberikan kepada bayi Sarawak tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.