KUCHING: Nilai keseluruhan transaksi melalui Sarawak Pay melebihi RM14 juta sejak ditubuhkan pada November 2017.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak RM14,199,124.53 nilai wang hasil daripada 172,429 transaksi menerusi Sarawak Pay.

“Setakat ini, seramai 68,500 pengguna aplikasi Sarawak Pay.

“Malah, 2,400 lagi merupakan peniaga yang mendaftar dengan Sarawak Pay,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan aplikasi Sarawak Pay di KK Super Mart di Kota Sentosa di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, dalam usaha mempromosikan Sarawak Pay, Kerajaan Sarawak berjaya menandatangani memorandum persefahaman dengan Singapore Nets (Singapura) dan Union Pay (China).

“Kita mengembangkan penggunaan Sarawak Pay ke negara luar dengan konsep kerjasama serta perlu mendapatkan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) termasuk bank pusat di negara tersebut.

“Kelulusan BNM dan pusat bank di Singapura dan China amat penting kerana melibatkan perpindahan wang serta mengelak pengubahan wang haram,” jelasnya.

Bagaimanapun, Abang Johari yakin yang Sarawak Pay terjamin dari segi keselamatannya kerana mengguna pakai teknologi terkini.

Dalam pada itu, beliau memuji KK Super Mart apabila menggunakan aplikasi Sarawak Pay untuk urusan jual beli.

Katanya, dengan mempunyai 380 cawangan di seluruh negara, KK Super Mart yang ditubuhkan oleh anak tempatan Sarawak boleh menjadi contoh kepada kedai lain dalam penggunaan Sarawak Pay.

Terdahulu, Pengerusi Eksekutif KK Supermarket & Superstore Sdn. Bhd, Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan berkata, Sarawak Pay akan diperkenalkan di lapan cawangan di Kuching dan 12 lagi di Semenanjung Malaysia.

“Dalam industri kecantikan pula, Kumpulan KK memilih masing-masing satu cawangan Slimming Sanctuary Beauty Salon dan Clara International Beauty Salon di Kuching menggunakan Sarawak Pay.

“Kami menyasarkan penggunaan Sarawak Pay di 380 cawangan KK Super Mart di seluruh Malaysia dalam tempoh sebulan,” ujarnya.

Beliau juga merancang untuk melaksanakan aplikasi Sarawak Pay di semua anak syarikat Kumpulan KK lain seperti lima cawangan Baiwago Bakery Cafe, empat Hotel KK, KK kopitiam, KK Food Court, KK Freshmart, KK Motorsports dan gelanggang badminton KK.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Tan Sri Mohammad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Sim Kui Hian, Adun Batu Kitang, Cr. Lo Khere Chiang serta Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dr. Zaidi Bujang.