BETONG: Penat lelah sepanjang tiga minggu bertungkus lumus menyediakan persiapan untuk mempertahankan kemenangan akhirnya terbalas apabila kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Augustine sekali lagi dinobatkan sebagai johan keseluruhan Perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2019 di sini, semalam.

Kemenangan tiga tahun berturut-turut sejak 2017 itu menjadi kenangan manis buat pelajar dan guru yang terlibat lebih-lebih lagi berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM13,000 selepas memenangi juga kategori C iaitu sekolah menengah.

Pengetuanya Paul Langgang memberitahu, walaupun sebelum ini tidak begitu berharap dapat mencipta hatrik, tetapi sebenarnya semua guru dan pelajar yang terlibat bersiap sedia dengan sepenuhnya.

“Saya amat berpuas hati dan kemenangan ini untuk semua guru dan pelajar SMK Saint Augustine… hasil kerja keras selama tiga minggu.

“Bergelar johan keseluruhan tiga tahun berturut-turut merupakan kenangan terindah,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas berakhirnya Perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2019 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, semalam.

Jelas Paul, antara kekuatan kontinjennya ialah bilangan penyertaan yang ramai iaitu lebih 120 pelajar termasuk para guru.

“Apa yang saya banggakan, ke semua persiapan terutamanya pakaian tradisional yang digunakan hasil ikhtiar mereka sendiri,” ujarnya.

Untuk keputusan penuh, kategori A iaitu agensi kerajaan, badan berkanun serta swasta telah dimenangi oleh Jabatan Pertanian Bahagian Betong (Sempulang Gana)sebagai johan. Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (Salcra) masing-masing berada pada kedudukan naib johan dan tempat ketiga.

Sementara johan bagi kategori B iaitu rumah panjang, badan bukan kerajaan (NGO) dan pekan pula disandang oleh Kampung Remabong, kedudukan naib johan diberikan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Penurin serta tempat ketiga kepada Belia Bukit Saban.

Manakala kategori C iaitu sekolah menengah dimenangi oleh SMK Saint Augustine. SMK Datuk Patinggi Kedit dan SMK Ulu Layar masing-masing sebagai naib johan dan tempat ketiga.

Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Passa turut mempertahanan takhta apabila sekali lagi muncul johan bagi kategori terakhir iaitu D yang terdiri daripada sekolah rendah. Mengikutinya sebagai naib johan ialah SK Saint Augustine dan tempat ketiga oleh SK Bartholomew.

Mereka dinilai berdasarkan kreativiti, pakaian, sepanduk dan perbarisan.

Sementara kesemua kontinjen yang kurang bernasib baik turut diberikan hadiah saguhati RM200.

Perarakan sejauh 2.2 kilometer yang bermula seawal 7.00 pagi itu diwarnai dengan penyertaan 28 kontinjen (dua jemputan) melibatkan kira-kira 1,500 anggota masyarakat yang bergerak dari Kompleks Sukan Betong seterusnya ke Pekan Lama Betong sehinggalah ke Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

Perarakan berjalan lancar dalam suasana aman dan harmoni.

Bagi Pengarah Kolej Vokasional Betong selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Lim Ah Juan mengakui program seumpama ini menunjukkan betapa hebatnya perpaduan masyarakat di Betong melihat kepada penyertaan pelbagai kaum.

Beliau berharap semangat itu dapat dikekalkan.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong yang juga Penasihat Jawatankuasa Induk Perayaan Friday Belik, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perarakan Chiresly Francis Kureng dan Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal.