PASUKAN Trass Merah dan Dara Bajik berjaya merangkul takhta juara dan selayaknya digelar orang kuat tarik tali Bahagian Betong masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.

Mereka memenangi pertandingan tarik tali bersempena Karnival Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2019 yang diadakan saban tahun sebagai pengisian utama yang berlangsung di Bandar Baharu Betong, semalam.

Bagi Trass Merah yang menumpaskan Kelab Landas 2-0, kemenangan tersebut bukan yang pertama ekoran pada karnival yang sama tahun lalu, pasukan bomba Saratok itu turut meraih kejuaraan.

Mereka menenggelamkan enam lawannya yang lain iaitu Landas (naib juara) dan Bujang Lapok (tempat ketiga) serta Kampung Baru, Nanga Ban, Rian Pagan A dan B.

TRASS MERAH

Sementara kategori wanita, pasukan dari Nanga Passa iaitu Dara Bajik menewaskan pasukan Chia You.

Setiap pemenang takhta juara membawa pulang wang tunai sebanyak RM400 bersama trofi dan hamper, manakala naib juara pula memenangi hadiah sebanyak RM300 bersama trofi dan hamper. Kedudukan ketiga turut mendapat RM200 serta trofi dan hamper.

Pasukan yang berada pada tangga keempat dan ketujuh juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut menerima hadiah saguhati sebanyak RM50 beserta hamper.

Hadiah disampaikan oleh Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Anthony Aboi mewakili jawatankuasa induk sambil diiringi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PPgB Vincent Baling Yabi dan Pegawai Operasi BBP Betong PBK I Henry Jugah.

Henry yang juga pengerusi pengelola pertandingan memberitahu, pihaknya merakamkan penghargaan terhadap Jawatankuasa Induk Perayaan kerana memberi kepercayaan kepada BBP Betong untuk mengendalikan pertandingan tarik tali kali ini.

Menambah lanjut, pihaknya sentiasa menyokong penuh apa juga program yang dianjurkan oleh agensi di Bahagian Betong.

DARA BAJIK