HASIL yang tidak menentu, di samping kesukaran untuk memasarkan produk tani menyebabkan usahawan muda yang baru berjinak-jinak untuk menceburi bidang pertanian berada dalam situasi 50-50, sama ada meneruskannya atau sebaliknya.

Ini kerana untung rugi dalam bidang ini bergantung sepenuhnya kepada hasil tuaian dan kebijaksanaan dalam pemasaran.

Usahawan muda yang mentah pengalaman dan tidak mendapat bimbingan yang sewajarnya kebiasaannya akan mudah mengalah walaupun pertanian mampu memberi pulangan lumayan.

Pertanian bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan belia di negara kita pada hari ini.

Ini kerana terdapat ramai daripada mereka yang berkelulusan tinggi dalam bidang ini di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengambil langkah berani dengan mengeksploitasi segala potensi diri dan memanfaatkan segala peluang, ruang dan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Di Sarawak misalnya, Jabatan Pertanian akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian (Fama) dan beberapa syarikat utama.

Melalui Syarikat Top Fruit Sdn Bhd misalnya, Sarawak mengeksport sekitar 30 tan pes durian ke China tahun lalu dan ia ditingkatkan kepada 100 tan tahun ini.

Bukan sahaja durian, malah pebagai hasil tani lain turut dibantu, sama ada dalam pasaran tempatan atau luar negara.

Di samping itu, golongan petani juga perlu bijak membuat pilihan dengan lebuh fokus kepada tanaman yang mempunyai potensi pasaran luas.

Misalnya sekarang ini ialah durian Musang King, nanas, pisang dan kelapa.

Empat jenis tanaman tersebut sentiasa mempunyai pasaran yang tinggi di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Kelapa misalnya, kita masih mengimport dari Indonesia dan Thailand setiap kali musim perayaan kerana hasil tempatan belum mampu menampung permintaan tinggi masyarakat tempatan terhadap produk ini.

Jadi di sinilah peluang dan ruang untuk petani kita memperluaskan lagi skop tanaman.

Begitu juga dengan nanas dan pisang yang sentiasa mempunyai permintaan yang tinggi, terutama dalam kalangan orang tempatan.

Di samping itu, pihak kerajaan juga menyediakan pelbagai kursus yang berkaitan dengan pertanian.

Oleh itu, ia perlu dimanfaatkan oleh warga petani dengan sebaik mungkin, kerana ilmu tersebut amat penting untuk jangka masa pendek dan panjang.

Misalnya di Pichin, Serian baru-baru ini, diadakan Kursus Penanaman Durian Musang King.

Sekitar 600 peserta menyertai kursus tersebut.Sarawak dikenal pasti sebagai antara destinasi yang amat berpotensi untuk mengembangkan penanaman durian pelbagai spesies, terutama Musang King.

Jadi inilah peluang terbaik bagi usahawan tani kita untuk lebih serius dalam penanaman Musang King kerana ia sentiasa mempunyai pasaran yang tinggi di luar negara, terutama China.

Oleh itu, generasi petani muda kita tidak perlu gentar kerana bidang pertanian yang diusahakan sebaik mungkin tidak pernah mengecewakan.