BINTULU : “Syukur pada ALLAH SWT. Terima kasih Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing. Terima kasih untuk semua!” luah Rokaiyah Ramlee, 62, bagi menggambarkan penghargaannya terhadap segala bantuan yang diterima bagi membina rumahnya yang usang dan hampir menyembah bumi baru- baru ini.

Menurut warga emas terbabit, bantuan yang diberikan itu membolehkan beliau mendiami rumah berkenaan sekali gus dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut kemeriahan Aidilfitri di rumah sendiri.

“Syukur pada ALLAH, akhirnya impian saya untuk mendiami rumah yang selesa tercapai. Dapatlah saya sambut Ramadan dan seterusnya berhari raya di rumah ini.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat, Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKK) Kampung Jepak Hulu, Jawatankuasa Pengurusan Masjid At- Taqwa RPR Sebiew, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu(LAKIB), orang perseorangan dan individu yang bermurah hati menghulurkan bantuan dari mula- mula kerja pembinaan hingga siap” katanya kepada Suara Sarawak.

Dalam pada itu, Rokaiyah berkata, masih ada barang seperti pakaian yang perlu dikemas selain mengecat bahagian dalam selepas rumah itu siap dibina.

IKHLAS BANTU…Setiausaha LAKIB Abdul Latif Upit menyerahkan kunci kepada Rokaiyah.

“Sekarang, saya mengecat rumah,” katanya.

“Alhamdulillah, rumah ini dapat disiapkan dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama, sempat untuk saya sambut bulan puasa dan raya tak lama lagi.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam proses pembinaan rumah ini, terima kasih semuanya,” katanya.

Pada 12 Mac lalu, akhbar Suara Sarawak menyiarkan rintihan dan keluhan Rokaiyah yang resah memikirkan keadaan rumah yang didiami sejak lebih 40 tahun di Kampung Jepak Hulu di sini yang semakin usang dan berkemungkinan roboh pada bila-bila masa sahaja.

Bagaimanapun disebabkan kesempitan hidup, dia yang tinggal seorang diri di tapak rumah peninggalan ibubapanya terpaksa berteduh di rumah tersebut walaupun keadaannya semakin usang dan hampir menyembah bumi.

INI…Rokaiyah menunjukkan bahagian dalam kediaman barunya yang sudah dicat.

Beliau yang hanya bergantung kepada bantuan am bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 tidak mampu untuk membaiki apatah lagi membina rumahnya itu.

Bagi menampung keperluan harian, Rokaiyah mengumpul sisa dan potongan besi serta tin untuk dijual kepada lori barangan terpakai.

‘Saya tidak malu beritahu orang tentang pekerjaan saya ini. Sekurang- kurangnya saya tidak mencuri atau mengambil harta kepunyaan orang lain.

Apa yg penting ia halal dan dapat menampung keperluan harian, ujarnya lagi.

Selain mengumpul potongan besi dan tin, warga emas ini juga sanggup meredah hutan mencari kayu api bagi kegunaan dapur kayunya.

Adakalanya, saya menjala ikan di sungai berdekatan, kalau ada rezeki, adalah lauk untuk saya pada hari tersebut, ujarnya lagi.

GEMBIRA…Rokaiyah berterima kasih kepada pihak yang membantu dalam membina kediaman yang lebih selesa untuk didiaminya.