SIBU: Seramai 10 peserta Kumang Gawai Dayak Sibu 2019 akan berentap pada malam final sempena Majls Makan Malam Gawai Dayak peringkat Sibu pada 19 Mei ini.

Antara peserta yang berjaya mara ke final ialah, Stephny Mazleen Sophian, 21, Viviana Jimbun, 27, Sharon Mathew, 25, Frederica John, 24, Wati Assan, 21, Racquel Sheryl Echa, 23, Norani Rosline, 21, Dorika James, 19, Gloria Malong 20, dan Olivia Gundi, 18.

Terdahulu pada pusingan pemilihan Finalis Kumang 2019 yang diadakan di Permai Lake Garden, pada Sabtu lalu itu turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Majlis Makan Malam Pra-Gawai Dayak Peringkat Bahagian Sibu, Angelyn Uchi Maseng.

Pada pusingan pemilihan akhir itu, hanya 10 dari 18 peserta yang berpeluang untuk merebut gelaran Kumang Gawai 2019.

Juara Kumang Gawai 2019 bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,000 termasuk hamper, mahkota, selampai, dan tropi.

Sementara itu, Lulong (tempat kedua) akan memenangi wang tunai RM1,500, selampai, trofi dan hamper, manakala tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai RM1,000, selampai, trofi dan juga hamper.

Pemenang hadiah sagu hati iaitu tempat keempat dan kelima pula bakal membawa pulang wang tunai RM250, sementara tempat keenam hingga ke-10 akan membawa pulang RM150 setiap seorang.

Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir pada majlis itu ialah, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah.