KUCHING: Pertemuan antara Adun Saribas Mohammad Razi Sitam bersama Jabatan Agama Islam (JAIS) Negeri dan Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (LAKIS) menemui beberapa resolusi tentang pengurusan isu Tanah Perkuburan Islam Seruai yang diancam hakisan.

Menurut Razi, hakisan sungai yang berlaku sejak puluhan tahun lalu mengakibatkan banyak kubur lama masyarakat Islam terjun ke dalam sungai.

“Sesungguhnya saya mengharapkan sesuatu yang positif untuk rakyat dan Alhamdulillah, JAIS serta LAKIS mencadangkan kubur yang terjejas dipindahkan ke sebelah darat.

“Kira-kira 150 kubur sudah dikenal pasti dan perlu dipindahkan segera untuk mengelak kejadian kubur terjun ke sungai berulang,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Turut hadir Pengarah JAIS Negeri Ustaz Khalidi Ibrahim.

Jelasnya, pihak LAKIS yang dipengerusikan oleh Dr. Abang Ismail Abang Julhi akan bertindak sebagai urus setia pengurusan tapak perkuburan sekali gus mengendalikan cadangan kerja-kerja pemindahan.

“Insya-Allah satu taklimat untuk menjelaskan proses dan tatacara mengalihkan kubur bersama waris akan diatur… kita sudah kenal pasti waris yang terlibat. Kita juga akan menerangkan kepada mereka secara lanjut nanti,” ujarnya.

Menambah lanjut, hasil pertemuan turut mencadangkan supaya tapak perkuburan tersebut dinaik taraf sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.

Pada Jun tahun lalu, perjumpaan LAKIS dengan beberapa pihak seperti Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), JAIS dan syarikat perlesenan termasuk penduduk kampung memohon kerajaan supaya mempercepatkan projek pemutihan lot tambahan tapak tanah perkuburan baharu yang telah diluluskan (difahamkan sudah lama).

Usaha tersebut memudahkan LAKIS bekerjasama dengan jawatankuasa masjid dan surau di kawasan terbabit membuat pemindahan kubur ke tempat yang lebih selamat.

Tapak tanah perkuburan berkenaan yang diluluskan kerajaan melibatkan kawasan seluas 5.127 hektar pada 2000 di Lot 999 Blok 9 Paku Land District.

Turut dikemukakan cadangan agar kerajaan dapat membina benteng bagi mengelakan hakisan lebih teruk pada masa hadapan.