KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak mensasarkan pertambahan 20 peratus eksport pisang kepok ke Semenanjung pada tahun ini.

Pengarah FAMA Sarawak, Shahid Abu Bakar berkata, pisang kepok di Sarawak mendapat permintaan yang amat tinggi di Semenajung.

“Potensi seperti pisang kepok ini memang amat diperlukan di Semenanjung. Setiap minggu kita menghantar sekurang-kurangnya satu tan pisang kepok.”

Dan kita menjangkakan pada tahun ini dan akan datang, terdapat pertambahan sebanyak 20 peratus memandangkan pisang kepok di Sarawak mempunyai kualiti yang lebih baik dan juga saiz yang besar,” katanya ketika ditemui wartawan selepas melancarkan bazar Ramadan di Medan Niaga Satok, di sini kelmarin.

Shahid turut menyeru agar lebih ramai petani di Sarawak mengusaha buah-buahan memandangkan potensinya yang sangat tinggi di negeri ini.

Dalam pada itu, FAMA turut menyasarkan Sarawak sebagai pengeluar durian yang berkualiti pada masa hadapan.

“Kita akan mewujudkan satu pusat pemprosesan produk-produk segar terutama buah-buahan seperti durian. Kita proses buah durian ini menjadi pes untuk dieksport ke Semenanjung,” katanya.

Tambah Shahid, baru-baru ini FAMA telah menganjurkan kursus pemasaran potensi durian dan mendapat sambutan yang menggalakan iaitu 600 penyertaan.