KUCHING: Datuk Idris Buang (PBB-Muara Tuang) menuntut Dr Ting Tiong Choon (DAP-Pujut) untuk memohon maaf atas dakwaannya bahawa Amanah Saham Sarawak (Assar) sebagai 1MDB Sarawak.

Idris turut meminta Tiong Choon menarik balik sindiran berniat jahat dan tuduhan terhadap Assar sebagai keterlaluan dan mengerikan.

“Assar entiti dikawal ketat. Tiong Choon sepatutnya menyemak faktanya dan mengesahkannya dengan akauntan luar Assar, Suruhanjaya Sekuriti mengenai sama ada terdapat apa-apa yang salah atau tidak mematuhi undang-undang oleh Assar sebelum membuat fitnah retorik dalam mengamalkan persepsi politik,” jelasnya.

Menurut Idris, syarikat itu ditubuh Kerajaan Sarawak dengan idea bahawa setiap ringgit akan dijamin oleh Permodalan Assar dan kerajaan.

Beliau menegaskan, Assar perlu memastikan pemegang unit amanah mendapat bahagian mereka.

“Punca utama kejatuhan Assar dari segi membuat keuntungan adalah prestasi buruk pasaran dan ekonomi itu sendiri. Assar dibarisi profesional dan orang terlatih. Tiada apa yang mereka dapat lakukan jika pasaran begitu buruk,” jelasnya.

Idris turut menyatakan, beliau sendiri seorang ahli lembaga pengarah bukan eksekutif.

“Bidang saya lebih banyak daripada perkara undang-undang dan mematuhi keperluan berkanun dengan komisen sekuriti. Itu adalah tempat saya,” katanya dalam sidang media di Dun Sarawak semalam.

Idris mengakui bahawa terdapat masalah dengan model perniagaan dan memohon ia untuk diubah.

“Ketua Menteri mengambil serius perkara ini sejak dilantik dan mahu Assar disusun semula. Ia sama sekali berbeza dengan apa yang cuba dilihat oleh Tiong Choon. Kami tidak ada kaitan dengan 1MDB,” tegas Idris.