KUCHING: “Jangan putar belit kenyataan saya!” tegas Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian kepada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen semalam.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian merujuk kenyataan Chieng Jen yang mendakwa SUPP tidak senada dengan Kerajaan Sarawak apabila menyokong referendum pada sidang media Selasa lalu.

Kui Hian menangkis dakwaan tersebut dengan mengingatkan Adun Sarawak untuk mengutamakan Sarawak dan tidak sepatutnya mempertahankan Tanah Melayu atau Malaya.

“Kerajaan (Persekutuan) sepatutnya mendengar suara dan aspirasi rakyat Sarawak serta menepati janji yang dilontarkan sebelum ini.

“Kini, saya mahu rakyat sedar siapa yang selalu bertindak dan sentiasa bermain politik, jadi orang ramai boleh menilai apa yang dikatakan mereka,” katanya.

“Bagaimana untuk mempercayai Kerajaan (Persekutuan) jika mereka tidak menepati janji yang diberikan sebelum ini?

Katanya, kehidupan rakyat kini lebih sukar walaupun Pakatan Harapan menjanjikan kehidupan lebih baik sebelum ini.

“Saya pergi ke beberapa kedai kecil di bandar dan melihat harga barang tidak turun, malah semakin naik,” ujar Kui Hian.

Beliau berkongsi, seorang pemilik perniagaan memberitahu perniagaannya menurun kepada 50 peratus.

Kui Hian turut memaklumkan, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempunyai rancangan untuk menyediakan inisiatif seperti BR1M bagi membantu golongan miskin di negeri ini.