KUCHING: Kerajaan Sarawak membina dua laluan melalui bulatan dengan lampu isyarat manakala tiga persimpangan lampu isyarat dinaik taraf.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata, pendekatan jangka pendek ini sebagai langkah menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di Kuching – Kota Samarahan.

“Kementerian saya selesai membuat kajian trafik di lima bulatan di sepanjang laluan Kota Samarahan/Kuching.

“Maka, rancangan pembinaan akan bermula pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata demikian dalam sesi pengulungan sempena Persidangan Dun Sarawak di sini semalam.

Menurut Masing, Kerajaan Sarawak juga akan membina jalan alternatif di sepanjang Pusat Perniagaan Kuching dari Petra Jaya ke Kota Samarahan dengan mewujudkan jambatan baharu menyeberangi Sungai Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di hulu Pelabuhan Senari.

“Ini kerana masalah kesesakan lalu lintas di Kota Samarahan ke Kuching perlu dilihat dengan lebih serius.

“Jika dibanding dengan 10 tahun lalu, dikira bernasib baik apabila pengguna jalan raya boleh memandu 10 kilometer sejam terutamanya waktu puncak,” jelasnya.

Tambahnya, kesesakan tersebut menyebabkan pembaziran masa dan bahan bakar selain boleh menyebabkan tekanan dalam kalangan para pemandu.

Dalam perkembangan yang sama, James Masing memberitahu satu kertas cadangan bakal dikemukan kepada Kerajaan Sarawak bagi pengurusan lalu lintas.

“Kertas cadangan ini melibatkan pakar perunding pengurusan lalu lintas dalam mengkaji kesesakan lintas di sekitar Kuching.

“Kajian ini juga melibatkan pekan Kapit sebelum bandar lain di seluruh Sarawak menjelang tahun 2020,” ujarnya.