KUCHING: Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof memberi peringatan kepada rakyat Sarawak bahawa kuasa imigresen Sarawak bakal terhapus jika Pakatan Harapan memerintah Sarawak.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati rata-rata masyarakat ditemui tidak setuju hak imigresen Sarawak hilang.

Bagi Wilton Jugo 27,dari Kapit mahu hak imigresen terus kekal.

“Imigresen sudah termaktub dalam Perjanjian MA63 kenapa perlu dimansuh sedangkan tiada keperluan penting melakukannya.

“Kalau ia dimansuh sudah pasti akan memberi kesan negatif khu-sus bagi orang Sarawak,” ujarnya.

Razak Ayub, 62, dari Kuching menyifatkan Kerajaan PH sedikit demi sedikit hendak menghakis hak Sarawak.”

Kita tahu jika imigresen Sarawak dihapus sudah tentu akan memberi banyak faedah kepada kepada orang luar berbanding dengan kita sendiri,” katanya.

Feli Cia 29, dari Mukah, anak Sarawak perlu sama-sama berganding bahu mempertahan hak kita tidak kira bangsa, agama dan budaya.

“Kepelbagaian kita mungkin dari segi bangsa, agama dan budaya namun dalam hal ini kita adalah satu demi kepentingan generasi kita akan datang.

“Jangan sesekali kita menjadi pengkhianat kepada nenek moyang kita sejak dulu lagi sudah mempertahankan hak kita orang Sarawak,” tegasnya.

Mumin Safrie, 26, dari Kuching turut tidak bersetuju hak imigresen Sarawak dimansuhkan.

“Jika dimansuh, Sarawak sudah menjadi sebuah negeri sama dengan negeri lain tanpa ada sebarang hak istimewa.

“Perkara ini langsung tidak mencerminkan janji Kerajaan PH yang ingin mengembalikan semula hak Sarawak,” kata Mumin.

Manakala Mohammad Fazlul Karim Azahari, 44, dari Kelantan mahu hak Imigresen ini dimansuhkan bagi memudahkan orang selain dari Sarawak melakukan urusan di Sarawak.

“Selama berada di Sarawak hampir tujuh tahun, imigresen ini sangat merumitkan terutama melibatkan hal perkahwinan.

“Rasanya sudah tiba masanya kita menjadi sebuah negara Malaysia bebas bergerak ke mana sahaja tanpa ada sebarang halangan imigresen seperti ini,” jelasnya.

Terdahulu Datuk Seri Muhkriz Mahathir menyatakan kuasa autonomi imigresen Sarawak dimansuhkan selaras semangat Malaysia baharu.