KUCHING: Empat pemandu kereta bernasib baik tanpa mengalami sebarang kecederaan setelah terlibat dalam kemalangan berantai dengan sebuah lori 10 tan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kemalangan berpunca dari kegagalan brek lori terbabit, yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun.

Katanya kejadian sekitar jam 5.15 petang itu berlaku di jejambat Jalan Satok menghala ke arah Kubah Ria, apabila lori terbabit ketika melalui lorong kanan jejambat telah mengalami kegagalan brek lalu merempuh belakang sebuah kereta.

“Impak perlanggaran itu menyebabkan kereta berkenaan tersorong ke hadapan dan melanggar sebuah lagi kereta yang berada di hadapan.

“Kereta kedua yang dilanggar itu kemudian terpusing menghala ke arah bertentangan, manakala lori terbabit seterusnya masuk ke lorong kiri dan menghimpit sebuah lagi kereta ke dinding kiri jejambat, sebelum melanggar sebuah lagi kereta lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alexson menambah lori terbabit akhirnya terhenti di atas jejambat berkenaan setelah melanggar kereta terakhir yang dihimpit ke dinding kiri jejambat.

Kereta-kereta yang terlibat ialah Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 59 tahun, Perodua Kenari dipandu lelaki berusia 43 tahun, Perodua Myvi dipandu wanita berusia 37 tahun dan Perodua Viva, yang identiti pemandunya belum dikenalpasti.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan ini,” kata Alexson sambil menambah kes masih dalam siasatan.

Keadaan kereta-kereta yang rosak teruk selepas terlibat dalam kemalangan berantai dengan sebuah lori di jejambat Satok.