MIRI: Lima terselamat termasuk seorang kanak-kanak perempuan dari kebakaran yang melibatkan rumah dua tingkat di Jalan Korokop, Miri awal subuh tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2 pagi tadi dan telah menghantar 16 anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan BBP Lopeng.

Katanya, ketika anggota tiba di lokasi , didapati kebakaran sedang marak melibatkan rumah status kekal yang berkeluasan 40×60 kaki itu dan telah musnah sebanyak 90 peratus termasuk dua buah kenderaan.

“Kebakaran itu turut mengakibatkan sebuah Toyota pacuan empat roda musnah 100 peratus manakala kereta Proton Saga terbakar sebanyak 10 peratus.

“Operasi pemadaman segera dilakukan sehingga api padam sepenuhnya dengan konsep ‘receo’ yang mengunakan tiga aliran daripada satu muncung (nozzle) 300 kaki iaitu dari atas rumah, tingkat bawah dan juga di bahagian luar,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal, kebakaran dipercayai bermula dari ruang tamu rumah itu, namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

PADAM…Pasukan bomba ketika melakukan operasi pemadaman api