RUNDINGAN antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri berkaitan penurunan kuasa termasuk kuasa autonomi serta tuntutan hak yang terhakis seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah berlangsung semenjak pemerintahan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan.

Bahkan, pada zaman Tok Nan hak Sarawak menurut MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 sudah terlaksana tuntutan fasa pertama ini.

Seawal Januari 2016 Tok Nan mengumumkan senarai 13 perkara yang dipersetujui Kerajaan Persekutuan dalam penurunan kuasa pentadbiran kepada Kerajaan Negeri.

Antara tuntutan diluluskan ialah pegawai undang-undang negeri diberi tauliah oleh pendakwa raya membuat pendakwaan bagi kesalahan mengikut Ordinan Negeri.

Sementara, jawatan dalam Jabatan Imigresen Sarawak diperkemas bagi menambah baik fungsi penguatkuasaan melalui penambahan 100 jawatan baharu.B

egitu juga dengan nisbah guru kelahiran Sarawak dinaikkan kepada 90 peratus daripada keseluruhan jumlah guru di Sarawak menjelang 2018.

Turut dipersetujui ialah rundingan perlu dibuat dengan Kerajaan Sarawak dalam merangka undang-undang Persekutuan yang mempunyai kaitan atau kesan terhadap Kerajaan Sarawak.

Tuntutan fasa seterusnya terpikul di bahu pengganti Tok Nan iaitu Abang Johari.

Ini termasuk tuntutan pada fasa sensitif menyentuh hak negeri ini berkaitan pencerobohan Kerajaan Persekutuan terhadap kuasa negeri.

Pada fasa ketiga, Kerajaan Sarawak menuntut royalti minyak dan gas.

Di peringkat Persekutuan Ahli Parlimen Batang Sadong daripada GPS Datuk Seri Nancy Shukri terlibat dalam Jawatankuasa Pemandu “Devolution of Power” 2016.

Nancy bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2016-2018 mengaku Sarawak bertemu dan berunding secara terhormat dengan Kerajaan Persekutuan menyentuh berkaitan isu penting tersebut.

Jawatankuasa Pemandu dianggotai menteri Persekutuan, Sarawak dan Sabah, Peguam Negara, Peguam Besar Sarawak dan Sabah, pegawai mahir Sarawak, Sabah dan dari negeri Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimanapun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan Putrajaya pada peringkat Kerajaan Persekutuan, usaha tuntutan ini terbantut sekejap.

Di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dihidupkan semula Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 dipengerusikan beliau sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perunding MA63 Sarawak diwakili Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar membantu Ketua Menteri dan menasihatkan Dun berhubung pemulihan hak Sarawak dalam MA63.

Perbincangan demi perbincangan.

Apakah berlaku sekiranya rundingan ini menemui jalan buntu?

Ahli Parlimen Santubong Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan tegas berkata, sekiranya tuntutan dan rundingan tidak berjaya, Kerajaan Sarawak akan membawa perkara ini ke muka pengadilan di mahkamah.

“Kita selalu bangkitkan sekiranya kita gagal di sini (rundingan), kita akan bawa menggunakan sudut undang-undang. Saya sudah berbincang dengan Peguam Negeri, kalau mereka (PH) gagal dan tidak menunaikan dan masih lagi hak kita dalam Malaysia tidak diberi atau diceroboh…, kita akan bawa ke mahkamah yang membuat keputusan secara adil,” tegasnya.