KUCHING: Tindakan pemimpin pembangkang menyokong usul pindaan berhubung MA63 diluluskan oleh Dun pada 30 April dilihat sebagai tidak tetap pendirian.

Adun Jemoreng-PBB Datuk Dr Juanda Jaya berkata, satu perkara sangat konsisten mengenai pembangkang adalah sikap tidak tetap pendirian dalam membuat keputusan.

“Walaupun sebahagian besar ahli pembangkang dalam ucapan mereka membangkang, tapi agak pelik apabila mengundi mereka menyokong usul dikemukakan oleh Kerajaan GPS.

“Agaknya mereka takut dituduh sebagai pengkhianat oleh rakyat Sarawak yang menyaksikan peristiwa bersejarah itu,” katanya ditemui di Dun Sarawak semalam.

Justeru, beliau mencadangkan sekiranya pindaan itu berjaya, sebaiknya Sabah terlebih dahulu diberikan 40 peratus hasil cukai mereka.

“Sebagaimana disebutkan dalam MA63, jumlahnya amat besar kerana sudah 56 tahun cukai itu tidak dikembalikan.

“Sekiranya isu seperti mengembalikan 40 peratus cukai kepada Sabah itu gagal dilakukan, maka terbukti keikhlasan PH adalah hanya harapan palsu,” jelasnya.

Menyentuh mengenai setahun pentadbiran PH, Juanda berkata tiada kejujuran dalam manifesto PH.

“Sekiranya Kerajaan Sarawak boleh melaksanakan projek pembangunan untuk tahun 2019 hampir 10 bilion, dimanakah projek Kerajaan Persekutuan? Berapa bilion pembangunan dibawa masuk ke Sarawak? Yang mereka lakukan hanyalah membatalkan projek,” ujarnya.

Tegasnya, antara projek paling besar dibatalkan ialah projek Jambatan Batang Igan bernilai hampir RM300 juta dan Batang Lupar RM1 bilion.

“Bukan itu sahaja turut dibatalkan ialah projek untuk Kampung Haji Baki berjumlah RM1.8 juta serta kawasan Jemoreng sekitar RM2.8 juta.

“Bayangkan Sarawak dengan 82 kawasan DUN, sekiranya dijumlahkan berkemungkinan berbilion dibatalkan,” jelasnya