KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol mencabar pihak pembangkang dari Sarawak seperti DAP, PKR dan Amanah menubuhkan gabungan parti sendiri seperti GPS.

Tegasnya, jika empat parti dari Sarawak berani keluar daripada BN sebelum membentuk GPS, pihak pembangkang patut mengambil langkah serupa.

“Saya mencabar mereka untuk keluar daripada PH dan tubuh parti sendiri.”Biar rakyat menilai sendiri kemampuan mereka dalam pili-han raya negeri akan datang, katanya semasa ditemui pemberita di Dun semalam.

Abdullah juga berkata, Sarawak mempunyai dua menteri persekutuan iaitu Chong Chieng Jen dan Baru Bian, namun kedua-duanya disifatkan gagal membawa perubahan kepada Sarawak.

Menurutnya, Chieng Jen selaku Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sepatutnya menjaga hal berkaitan kepenggunaan tetapi sibuk urusan lain.

Sementara itu, Baru Bian selaku Menteri Kerja Raya pula lebih banyak fokus pembangunan di luar Sarawak dengan mengumumkan pelbagai peruntukan besar di Semenanjung Malaysia.

“Kita sebenarnya bangga kerana Sarawak mempunyai wakil menteri di peringkat persekutuan tetapi, mereka bukan menteri persekutuan yang efektif kerana tidak dapat buat keputusan untuk negeri sendiri,” tegasnya.