SIBU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir pada sambutan pra-Gawai Dayak anjuran cawangan parti itu di Kanowit pada 22 Mei ini.

Menurut jurucakapnya di sini semalam, sambutan itu akan diadakan di Dewan Pejabat Daerah Kanowit pada jam 6.30 petang.

Dijangka mengiringi Anwar ialah Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Pihak penganjur turut menjemput Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Adun Ngemah Alexander Vincent dan Adun Machan Allan Siden Gramong.

Tema program itu nanti ialah ‘Hidup Sehaluan Meraikan Gawai’.

Justeru, wakil rakyat dari seluruh Sarawak, ahli parti politik serta orang ramai khususnya penduduk di Kanowit dialu-alukan menghadiri majlis julung kalinya diadakan selain melakarkan sejarah baharu kepada Kanowit.

Program itu juga turut dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Penerangan Daerah Kanowit.

Antara aktiviti dirangka pada malam tersebut ialah pertandingan Kumang dan Keling Gawai, ‘Betaboh’ dan Suara Emas.

Tiket meja dijual dengan harga RM1,000, RM800 dan RM500.

Mereka yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 019-4841336, 014-2609858 dan 013-8272226.