SARIKEI: Kawasan hutan dan belukar kira-kira empat hektar berhampiran jambatan Nyelong di sini musnah terbakar petang semalam.

Seramai 12 anggota dari Bomba dan Penyelamat Sarikei menggunakan masa hampir empat jam memadam kebakaran yang dipercayai bermula sekitar jam 4.40 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmuddin Narudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.54 petang

“Cuaca panas, kering dan berangin menyebabkan api merebak pantas dan sukar dipadamkan. Bagaimana pun, kita berusaha keras mengawal keadaan bagi memastikan api tidak merebak besar. Operasi bermula jam 5.07 petang dan api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira tiga jam kemudian.

“Kejadian ini juga memaksa anggota kita yang beragama Islam berbuka puasa di tempat kejadian sebelum meneruskan operasi,” katanya.

Ditanya mengenai punca, beliau berkata, kejadian masih dalam siasatan namun Bomba tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat pembakaran terbuka.

Hasil pemeriksaan susulan di sekitar kawasan kejadian katanya, kejadian tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.

“Kita juga melakukan pemadaman susulan bagi mengelak berlakunya kebakaran berulang.Kami hanya beredar daripada kawasan kejadian selepas keadaan di kawasan itu disahkan betul-betul selamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuang punca api, puntung rokok atau membuat pembakaran terbuka kerana cuaca panas boleh mengakibatkan api merebak dengan cepat.

Bomba dan Penyelamat Sarikei bertungkus lumus memadam kebakaran.

 

Anggota Bomba berbuka puasa berhampiran tempat kejadian sebelum meneruskan operasi memadam kebakaran hutan dan belukar berhampiran Jambatan Nyelong Sarikei, petang semalam.

 

Api berjaya dipadam sepenuhnya dalam tempoh hampir empat jam.