SRI AMAN: Dianggarkan 1,000 tetamu termasuk warga pendidik dari seluruh pelosok Sarawak serta masyarakat sekitar hadir menyerikan Majlis Sungkei dan Ceramah Perdana bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Ke-48 yang berlangsung di Masjid Besar Bandar Sri Aman, malam tadi.

Turut sama memeriahkan majlis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, Pengarah Pendidikan Sarawak Dr. Azhar Ahmad, Ketua Sektor Pendidikan Islam Hosen Mahrip dan Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Dr. Abang Adam Abang Deli.

Majlis yang bermula sekitar 5:30 petang diisi dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebelum majlis berbuka puasa.

Acara diteruskan dengan solat fardhu Maghrib dan Isyak serta sunat Tarawih secara berjemaah.

Seusai itu, diteruskan dengan ceramah perdana oleh Ustaz Syamsul Debat yang membawa kupasan integriti guru.

Beliau dalam ceramahnya menggariskan beberapa ciri guru yang mempunyai integriti, antaranya jujur, amanah, istiqamah, ukhuwah, kebertanggungjawaban dan sebagainya.

 

Katanya, pendidik merupakan individu yang terlalu besar sumbangan dalam melahirkan modal insan berguna.

“Kita sebagai masyarakat biasa perlu sedar, tanpa guru kita tidak akan ke mana dan amat benar satu ungkapan berbunyi guru umpama lilin membakar diri yang menerangi alam. Maka, hargailah guru.

“Mudah-mudahan anda (guru) yang berperanan dalam bidang pendidikan mampu terus menabur bakti untuk melahirkan modal insan yang berguna. Selamat Hari Guru,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan, didiklah anak-anak dengan ilmu, bukannya harta mahupun wang ringgit.

Rata-rata jemaah yang hadir terhibur dengan ceramah yang disampaikan cukup bersahaja serta turut diselitkan dengan banyak nilai dan pengajaran.

Terdahulu Simoi turut menzahirkan penghargaan serupa dan menyifatkan keikhlasan seseorang guru yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah mendidik serta mencurah ilmu diharap diberikan oleh Allah SWT ganjaran yang setimpal di dunia mahupun akhirat.