KOTA SAMARAHAN: Gaji lumayan dan janji manis majikan menyebabkan kita mudah terperdaya dengan tawaran kerja luar negara sehingga ramai menjadi mangsa sindiket ini.

Bukan sedikit kes penipuan pekerjaan melibatkan jumlah mangsa pelbagai peringkat usia.

Mantaim Manap berpendapat, tawaran kerja dari luar negara menjanjikan banyak keistimewaan yang membuai rasa pencari kerja.

“Tawaran kerja dari luar negara banyak menjanjikan keistimewaan seperti gaji, tempat tinggal dan sebagainya.

“Perkara itu menyebabkan pencari kerja mudah tertarik khususnya golongan belia mahu bekerja dengan gaji lumayan,” katanya.

Mohamad Azizi Abdul Aziz berkata, selain gaji yang lebih tinggi, pengalaman baharu merupakan faktor utama mereka ingin ke luar negara.

“Jumlah gaji lebih tinggi daripada tempat sendiri merupakan tarikan utama masyarakat kita mahu bekerja di luar negara.

“Selain itu, segelintirnya mencari pengalaman kerja di luar negara tetapi tidak mengikuti sistem tapisan betul,” ujarnya.

Kata Nor Azlin Su’ip, tawaran gaji merupakan benda pertama dilihat pencari kerja.

“Setiap pencari kerja akan melihat tawaran gaji, jika gaji lumayan mereka akan mudah tertarik.

“Begitu juga kes penipuan kerja melibatkan masyarakat kita, mereka sangat mudah tertarik dengan tawaran gaji lumayan,” jelasnya.

Bagi Mohamad Arzimy Safian pula, pencari kerja akan melihat peluang kerja dan gaji yang ditawarkan.

“Peluang kerja besar akan membuatkan pencari kerja terutamanya penganggur mudah tertarik dengan tawaran diberikan.

“Gaji lumayan menyebabkan ramai menerima tawaran tanpa berfikir panjang dan tidak memeriksa kesahihannya,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Joycelyn Ong Shee Hui beranggapan, masyarakat kita suka berhijrah ke luar negara kerana gaji lumayan tetapi tidak membuat kajian terlebih dahulu.

“Mereka suka bekerja di luar negara kerana tawaran gaji lumayan terutama di Singapura dan peluang pekerjaan lebih banyak berbanding Malaysia.

“Malangnya, orang kita tidak memeriksa kesahihan dan sumber iklan tersebut sebelum menerima tawaran menyebabkan mereka mudah tertipu,” jelasnya.

Terdahulu, seramai 40 anak Sarawak menjadi mangsa di Kemboja ekoran kes penipuan pekerjaan diuar-uarkan secara meluas pada Februari lalu.

Baru-baru ini, Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah menyatakan, sehingga 6 Mei ini sebanyak 35 kes penipuan pekerjaan telah dilaporkan melibatkan 24 lelaki dan 11 wanita dengan kerugian sebanyak RM51,000.

Menurutnya, berbanding tahun lepas, jumlah penipuan pekerjaan yang direkodkan hanyalah 38 kes manakala pada 2017 sebanyak 30 kes.

“Kes penipuan pekerjaan ini bermula daripada mangsa sendiri, yang terlalu cuai.

“Kami memberi amaran kepada rakyat Sarawak agar tidak mudah menerima tawaran pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan terutamanya melalui media sosial,” katanya.