KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan berita baik untuk ibu-ibu di Sarawak yang baharu melahirkan anak, dalam Bajet Negeri pada akhir tahun ini.

Menurutnya, bantuan kebajikan dan bagi meringankan beban ibu lepas bersalin itu adalah memerlukan kewangan yang besar.

“Tunggu sahaja, saya akan umumkan dalam Bajet Negeri hujung tahun nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Produk Warisan Kampung di Pasaraya Mydin Petra Jaya di sini, hari ini.

Pada 5 Mei lepas, Abang Johari dilaporkan mempunyai ‘hadiah’ kepada kaum ibu, tanpa menyatakan bentuk hadiah berkenaan.

Katanya pengumuman itu nanti adalah untuk kebajikan kaum ibu terutamanya selepas mereka melahirkan anak.

Jelas beliau, selepas melahirkan anak, kaum ibu perlu dipantau terutamanya penyusuan kepada bayi selama enam bulan.

“Kita mengambil kira keperluan bayi dalam pengumuman itu nanti,” katanya, tanpa menjelas lanjut dalam satu majlis di Kota Sentosa.