BETONG: Seorang Eksekutif Pentadbiran sebuah syarikat swasta, Mary Queen Ambrose Karim, 25 dinobatkan sebagai Kumang Gawai Bahagian Betong 2019 pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong yang berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, malam tadi.

Ia sekaligus menepati ramalan sebahagian besar tetamu yang hadir.

Kemenangan tersebut melayakkan ‘dara bajik’ yang berasal dari Betong itu pulang dengan hadiah wang tunai RM2,200 beserta selampai Kumang, trofi, bunga tangan, hamper, cenderahati dan sijil.

Beliau dilihat mempunyai kelebihan terutamanya dalam kemahiran berkomunikasi dan berpengetahuan luas.

Lebih bertuah, jurulatih tarian dan zumba itu turut dianugerahkan dengan ‘ngepan’ terbaik yang menyediakan hadiah wang tunai RM500.

UNTUK ALBUM … Douglas Uggah, Alfred Jabu, Robert Lawson Chuat serta tetamu lain bergambar kenangan bersama Mary Queen, Elizabeth Lydiana dan Ullia Ulanda Rumpang pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong yang berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, malam tadi. Foto. OSMAN RAZALI

Sementara itu, gelaran Lulong Gawai diberikan kepada Elizabeth Lydiana Bujang, 19 berasal dari Sibu.

Beliau yang kini menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan memenangi hadiah RM1,700 beserta trofi, bunga tangan, hamper, cenderahati dan sijil.

Manakala penuntut Politeknik Kuching dalam bidang kejuteraan awam Ullia Ulanda Rumpang, 20 bergelar Selinggar Matahari Gawai.

Beliau yang berasal dari Kuching membawa pulang hadiah RM1,200 beserta trofi, bunga tangan, hamper, cenderahati dan sijil.

Lima peserta lain pertandingan Kumang Gawai yang kurang bernasib baik ialah Maria Madelina Sujie, 23 (Kuching), Catherine Annda Thomas, 21 (Saratok), Marvis Rirak Mandau, 27 (Betong), Helena Vanissa Humphrey, 21 (Betong) dan Caroline Yak Eka, 21 (Betong).

Kesemua peserta turut diberikan hadiah saguhati berupa wang tunai 700 beserta trofi, bunga tangan, hamper, cenderahati dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu dan Datin Claudia Janting sambil disaksikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Penasihat Sains Penyelidikan Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr. Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Friday Belik, Pengarah Kolej Vokasional Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Lim Ah Juan, Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, Ketua Gawai Temenggung Richard Mulok Entering serta Kumang Gawai Bahagian Betong 2018 Sophia Benet @ Denot (2018).

Pada tahun ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Kedit sekali lagi diberikan kepercayaan untuk mengelola pertandingan tersebut diketuai oleh seorang guru Sigat Sang.

MARY QUEEN dan SOPHIA BENET