SARIKEI: Persatuan Kebajikan Tiong Hua Islam Sarawak Cawangan Sarikei (Perkthis) bukan hanya mewakili suara masyarakat Tiong Hua Muslim di bahagian ini tetapi juga menjadi platform bagi menangani pelbagai isu membabitkan komuniti tersebut.

Pengerusinya, Fairul Zuandi Firdaus Deng berkata, Perkthis Sarawak yang berpangkalan di Kuching ditubuhkan pada 2017 manakala penubuhan Perkthis cawangan Sarikei pula bermula Mac 2019.

Setakat ini katanya, Perkthis Sarikei mempunyai kira-kira 20 orang ahli yang masih dalam proses mengalak penyertaan masyarakat Cina Islam untuk menyertai persatuan berkenaan.

“Kita ditubuhkan dengan matlamat utama untuk membela kebajikan dan pendidikan dalam kalangan masyarakat Tiong Hua Muslim di Sarawak, khususnya di Sarikei.

“Sehubungan itu, kita ada perancangan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti pada masa akan datang. Bagaimana pun, saya berharap usaha Perkthis untuk membela kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Tiong Hua Muslim Sarikei mendapat sokongan padu semua pihak.

Dua pengunjung bazar Ramadan Sarikei turut menerima sumbangan.

“Dalam aspek yang berkaitan, masyarakat Tiong Hua muslim sebenarnya perlu didekati kerana kami ada budaya tersendiri yang perlu diketahui dan difahami umum,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri program agihan juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Sarikei, semalam.

Aktiviti amal yang dianjurkan dengan kerjasama Urusetia Saudara Kita (USK) bahagian Sarikei itu merupakan salah satu inisiatif untuk mengimarahkan sambutan Ramadan bersama masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama dengan mengagihkan juadah berbuka puasa secara percuma.

Sehubungan itu, Fairul berkata, lebih 100 bungkusan juadah berbuka puasa diedarkan kepada orang ramai bermula jam 4.00 petang hingga program berakhir pada jam 6.00 petang.

“Sambutan cukup mengalakkan daripada jawatankuasa USK Bahagian Sarikei, Perkthis dan pengunjung bazar Ramadan.

“Justeru, kita berharap untuk bekerjasama lagi dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain untuk melaksanakan lebih banyak program amal sekaligus mengajak masyarakat ke arah kebaikan,” katanya.

Ia merupakan program kedua bagi Perkthis selepas penyertaan mereka dalam Kursus Pengurusan NGO Islam peringkat bahagian Sarikei, April lalu.

Pengerusi USK Sarikei, Shahmen Abdullah (kanan) menyampaikan juadah berbuka puasa kepada Ayub Alli.