SARIKEI: Ahli Parlimen P 206 Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab mengagihkan sumbangan sebanyak RM63,000 bagi membantu jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di kawasan parlimen itu untuk melaksanakan aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan.

Sumbangan disampaikan oleh Yusuf dalam siri jelajah Ramadan beliau di kawasan Parlimen Tanjung Manis sejak 11 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM32,000 diserahkan kepada masjid dan surau di Pulau Bruit manakala, selebihnya untuk Sarikei, Tanjung Manis dan Bintangor.

“Setiap masjid menerima sebanyak RM2,000 manakala surau pula RM1,000. Selain itu, saya juga menghulurkan sebanyak 900 kotak mineral kepada seluruh masjid dan surau di Tanjung Manis.

“Sehubungan itu, saya berharap mereka dapat memanfaatkan sumbangan ini dengan sebaik-baiknya untuk menyemarakkan lagi sambutan Ramadan sekaligus memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan apron kepada peniaga bazar Ramadan di sini, hari ini.

Yusuf (kiri) bersama Len Talif (kanan) meninjau bazar Ramadan Sarikei sambil menyampaikan apron percuma kepada peniaga di kawasan itu.

Sehubungan itu, Yusuf berkata, program imarah Ramadan merupakan landasan terbaik untuk mengeratkan perpaduan ummah.

“Pada masa yang sama amalan saling membantu dan tolong menolong amat dituntut sepanjang menjalani ibadat di bulan mulia ini.

“Sumbangan yang kita hulur mampu memberi keceriaan dan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengambil kesempatan menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih bersama rakyat di Masjid Al –Mutaqqin.

Program turut dihadiri Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.