KUCHING: Penubuhan Makmal Analisa Halal (DNA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak melalui keadah penganjuran wakaf, merupakan satu projek yang pertama diwujudkan seumpamanya di Sarawak.

Oleh itu, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bersama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak telah diadakan di Tabung Baitulmal Cawangan Batu Kawa semalam.

Melalui MoU ini ia ialah sebagai usaha koloborasi strategik pengurusan Dana Wakaf antara dua pihak ini untuk tujuan penubuhan DNA di Sarawak ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengurus Besar TBS Datuk Haji Abg. Mohd. Shibli Haji Abg Mohd. Nailie dan mewakili UITM ialah Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr. Jamil Haji Hamali.

Setelah termeterainya memorandum tersebut satu Jawatankuasa Bersama Khas terdiri daripada pihak TBS dan UiTM Cawangan Sarawak ditubuhkan bagi bertanggunjawab dari segi pengurusan kutipan dan pengunaan Dana Wakaf.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Haji Misnu Haji Taha, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar merangkap Penyelaras Makmal Halal (IWAH) Profesor Madya Dr Mohamad Isa Mohamadin, Ketua Pegawai Eksekutif Insititut Perwakafaran & Penyelidikan Halal Mohd Syahiran Abdul Latif, Timbalan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Bolhassan Iskandar Taibi, Penyelaras Makmal Halal Sharifah Anom Omar, Setiausaha IWAH Nursinah Tompeng dan pihak pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak.

Menurut satu kenyataan, penubuhan makmal ini telah dimulakan pada tahun 2014 dan secara rasminya kelulusan penubuhan makmal ini telah diperolehi pada bulan Ogos 2016 dari Pengurusan Tertinggi UiTM.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) oleh Pengurus Besar TBS Datuk Haji Abg. Mohd. Shibli Haji Abg Mohd. Nailie (kiri) dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr. Jamil Haji Hamali (kanan) turut disaksikan oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Haji Misnu Haji Taha (tengah)

Dari aspek pengoperasian makmal ini sekarang diletakkan di bawah Baitulmal Sarawak dan Institut Perwakafan dan Penyelidikan Halal (IWaH) UiTM Cawangan Sarawak.

Matlamat utama penubuhan makmal ini ialah untuk menyokong dan membantu perkembangan industri halal di Sarawak.

Apabila dengan adanya makmal analisis halal ini, industri makanan di Sarawak melibatkan sesuatu produk akan lebih mudah untuk dijalankan proses pengesahan halal.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi peruntukan sebanyak RM500,000 yang disalurkan oleh Majlis Islam Sarawak melalui Baitulmal Sarawak pada tahun 2017, jelas kenyataan tersebut.
Bermula awal tahun ini, makmal yang dikenali sebagai DNA tersebut sekarang berfokus kepada analisis halal ke atas kehadiran DNA khinzir di dalam produk makanan dengan menggunakan teknik analisis RT-PCR.

Sehingga kini, makmal ini telah bersedia menerima sampel-sampel makanan daripada industri dan boleh menjalankan analisis saringan halal ke atas produk-produk makanan tersebut.

Buat masa ini makmal tersebut masih di dalam proses mendapatkan akreditasi ISO 17025 untuk membolekan ia berfungsi sepenuhnya secara komersial.

Di samping itu, pihak TBS sebelum ini juga telah menjalinkan kerjasama dengan RHB Islamic Bank bagi penyediaan platform kuitpan Dana Wakaf Al-Bait melalui aplikasi QR Code Boost.