KUCHING: Gelaran Keling dan Kumang Gawai Dayak Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Siol Kandis dinobatkan kepada Nicholas Stindin Tikok, 26, dan Jesse Diana Jantai, 21.

Kedua-dua pemenang berkenaan membawa pulang wang tunai RM1,000, selempang, sijil penyertaan dan trofi.

Ketampanan Nicholas yang berasal dari Lubok Antu berjaya mengatasi lapan peserta lain, manakala Jesse menyingkir sembilan lagi jelitawan.

Gelaran Laja dan Lulong pula disandang John Watson Tamin Willie, 28, dan Jasmine Sha Sha Salleh, 22.

Kedua-duanya berjaya membawa pulang wang tunai RM800, selempang, sijil penyertaan dan trofi.

Gelaran Bungai Nuing dan Selingkar Matahari dimiliki oleh Wilson Joseph, 24, dan Chela Nuri Michael, 24.

Pemenang tempat ketiga ini membawa pulang wang tunai RM500, selempang, sijil penyertaan dan trofi.

Hadiah disampaikan Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada malam Sabtu lalu.

Ketika ditemui Suara Sarawak, keenam-enam pemenang berasa bangga atas kemenangan terbabit.

Selain itu, mereka berasa sangat gembira kerana dapat mengenakan pakaian tradisional Iban.

Keunikan pakaian tradisional Iban boleh dipertonton kepada orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Dengan slogan Begempung Nuju Pemansang atau Bersama Ke Arah Pembangunan, pertandingan itu dianjurkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Siol Kandis bersama-sama SDNU Cawangan Siol Kandis.

Selain pertandingan Keling dan Kumang, turut diadakan ialah pertandingan menyumpit, menjual barang makanan dan sebagainya.