KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan bantuan khas Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak kepada semua penjawat awam negeri ini.

Berita gembira melalui satu kenyataan akhbar daripada Pejabat Ketua Menteri itu memaklumkan, Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberi bonus sebanyak RM500 kepada penjawat Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) termasuk mereka yang masih berkhidmat sebelum atau pada 31 Mei ini.

Menurut kenyataan tersebut juga, bantuan khas itu merangkumi Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri sempena musim perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Jun, akan dibayar pada 23 Mei ini.

Rata-rata penjawat awam di negeri ini melahirkan rasa syukur dan gembira apabila mengetahui mengenai bantuan khas tersebut.

Sehubungan itu, Suara Sarawak hari ini menggunakan rantaian media sosial WhatsApp dan Facebook bagi mendapatkan respons penjawat awam mengenai perkara itu.

Sukarni Abu Kassim

Bagi Sukarni Abu Kassim, 30, pada mulanya dia berpendapat kenyataan yang tular dalam media sosial itu adalah sebagai berita tidak benar kerana baru-baru ini Ketua Menteri memberitahu tiada Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak bagi penjawat awam negeri tahun ini.

“Apabila membaca daripada akhbar semasa persidangan Dun baru-baru ini menyatakan tiada bonus kepada penjawat awam di Sarawak, saya akur.

“Justeru, apabila mengetahui kesahihan maklumat tersebut hari ini, saya merasa sangat gembira kerana pastinya bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban terutamanya menjelang Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi,” jelasnya.

Sementara Hermi Kasmin, 31, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan menyifatkan bantuan khas tersebut amat bermakna kepadanya.

“Syukur kerana diberikan bonus lagi pada tahun ini. Sebagai penjawat awam baharu, bantuan RM500 tersebut pastinya dapat meringankan beban lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya yang sudah semakin dekat. Pastinya bantuan ini dapat membantu. Terima kasih Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Hermi Kasmin

Bagi Nurul Athirah Ahmad Tarmizi, 30, dia bersyukur dengan keprihatinan kerajaan dan bantuan kewangan itu pastinya mampu meringankan beban penjawat awam.

“Saya merasakan, bonus diberikan ini sangat-sangat membantu dalam suasana ekonomi buat masa ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak. Sedikit sebanyak bantuan ini dapat membantu dalam persediaan menyambut Hari Raya,” katanya.

Sementara itu, Razif Mostafa, 36, berkata bantuan khas kewangan berkenaan sekali gus memberi kelegaan kepada penjawat awam.

“Alhamdulillah. Dengan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 diumumkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban bagi penjawat awam menyambut Hari Raya dan Gawai di Sarawak amnya.

Razif Mostafa

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana prihatin dan sering mendengar rintihan penjawat-penjawat awam di Sarawak. Terima kasih sekali lagi,” jelasnya.

Manakala, Suryani Mahsan, 52, berkata, bantuan kewangan diterima itu akan digunakan bagi membeli barang keperluan dan persiapan Hari Raya tidak lama lagi

Menurutnya, dia berterima kasih dengan bantuan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban penjawat awam di negeri ini.

Sementara itu, pemberian Bantuan Khas Kewangan 2019 membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak tidak pernah terlepas memberi bonus Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak kepada penjawat awam di negeri ini dan bantuan khas tersebut sentiasa diberikan setiap tahun.

Pemberian Bantuan Khas Kewangan 2019 ini turut membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa menghargai sumbangan penjawat awam yang cukup setia dan berintegriti dalam membantu membangunkan Bumi Kenyalang.

Nurul Athirah Ahmad Tarmizi

 

Suryani Mahsan