LIMBANG: Walaupun melibatkan kos yang tinggi, Kerajaan Sarawak tetap menyalurkan bantuan kepada 3,350 penerima di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah menjelaskan, kerajaan tidak akan menyisihkan golongan ini malah mengambil peranan untuk terus membantu.

Misalnya kata Fartimah, program Sejambak Kasih Gawai Raya merupakan program tahunan Kerajaan Sarawak khas untuk mereka yang memerlukan.

“Program ini merupakan program tahunan Kerajaan Sarawak yang dianjurkan setiap kali musim perayaan di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dengan menggunakan peruntukan negeri.

“Objektifnya adalah untuk meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan menjelang sambutan perayaan seperti Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sejambak Kasih Gawai Raya Bahagian Limbang 2019 di Hotel Sri Malaysia, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menggesa rakyat untuk sama-sama bangkit dengan memulakan perusahaan kecil-kecilan dalam usaha meningkatkan pendapatan keluarga.

“Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak menganjurkan seminar dan kursus perniagaan di Daerah Lawas.

“Semua ini bertujuan meningkatkan keupayaan pendidikan asas sebagai landasan penting dapat bersaing dalam bidang perniagaan,” katanya.

Awang Tengah juga berharap rakyat bangkit dan berusaha gigih.

“Rakyat perlu gigih berusaha memulakan perniagaan kecil-kecilan kerana ia akan meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing,” tambahnya.

Dalam majlis itu, seramai 200 penerima menerima sumbangan wang tunai, manakala mereka yang tidak hadir sumbangan akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.