KUCHING: Seorang lelaki dari Tabuan Heights yang mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berasingan melakukan kecederaan parah terhadap dua rakannya telah dibebaskan dengan jaminan oleh mahkamah seksyen berasingan semalam.

Bagi Mahkamah Sekyen Mohd Taufik bin Mohd @ Mohd Yusof tertuduh Alan Ong Wei Hua, 20, di bebaskan dengan jaminan RM5,000 tunai dengan dua penjamin tempatan yang berpendapatan RM2,500 sebulan dan sebutan semula kes 17 Jun depan.

Alan Ong didakwa melakukan kecederaan parah terhadap rakannya Anthony Gan Kang Chiew dengan menggunakan sebilah parang jenis samurai kwataw pada jam 3.30 pagi pada 7 Januari, lalu di sebuah bilik pekerja di Jalan Mendu di sini bersama empat orang yang masih bebas.

Manakala dalam bilik mahkamah berasingan, Alan Ong dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin tempatan yang mempunyai alamat tetap dan mempunyai pekerjaan yang tetap disamping bergaji tidak kurang RM3,000 sebulan.

Hakim Mahkamah Seksyen Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menetapkan kes disebut semula pada 29 Mei depan.

Alan Ong didakwa melakukan kecederaan parah terhadap seorang lagi rakannya iaitu Yap Po Soon pada jam 1 pagi di flat KMC Jalan Ban Hock pada 6 Ogos 2018.

Dia menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda ataupun sebatan setiap kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya Nurfadlin Mahmad Zulhasnan hadir dalam kedua-dua kes berkenaan.