KUCHING: Kampung Boyan yang popular dalam kalangan pengunjung bandar ini, kini lengang tidak semeriah dahulu.

Perkara itu diakui beberapa peniaga yang ditemui di bazar Ramadan kampung itu yang dibuka seawal jam 2 petang.

Bagi peniaga lauk, Tini Jali walaupun sudah seminggu Ramadan namun tidak ramai datang ke gerai untuk membeli juadah berbuka puasa.

“Jika dibandingkan dahulu, keadaan meriah dan ramai yang datang ke Kampung Boyan… pendapatan agak lumayan.

“Namun kini keadaan agak lengang dan tidak semeriah dahulu,“ katanya yang hanya mampu meraih pendapatan RM50 sehari.

Tini menjual pelbagai lauk seperti umai obor, kaki ayam kicap, kari ayam, ayam masak merah serendah RM2 untuk setiap lauk, manakala nasi putih kosong berharga RM1.

Walaupun tidak mendapat keuntungan yang banyak Tini berkata, dia tidak putus harapan untuk berniaga secara kecil-kecilan demi menambah pendapatan sampingan.

Seorang lagi penjual kuih-muih tradisional, Nia Idora Suhai, 28, berkata dia hanya meraih sehingga RM100 sehari.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, saya bersikap positif dan terus berniaga.

“Mungkin ramai pengunjung mengambil langkah berjimat cermat untuk berbelanja,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kampung Boyan dahulunya meriah menjadi tumpuan kerana kek lapis, ikan terubuk masin dan biskut tradisional.

Tempatnya yang strategik memudahkan orang ramai mengunjunginya.

Kampung Boyan terletak di seberang kawasan segi tiga emas dan pusat bandar.

Kebiasaannya, pelancong hanya memerlukan RM1 untuk perjalanan sehala menyebe rangi Sungai Sarawak dari jeti di Kampung Boyan.