KUCHING: Pengisytiharan harta pemimpin kerajaan Sarawak termasuk Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah dikemukakan ke Pejabat Ketua Menteri.

Menurut Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof, semuanya akan dihantar sekaligus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Pusat Governas Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) kelak.

“Kini, kerajaan Sarawak masih menunggu format yang ditetapkan GIACC dan SPRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau berkata kerajaan Sarawak menyambut baik saranan GIACC seperti diumumkan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad supaya semua menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran kementerian termasuk semua Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Katanya ia selaras dengan inisiatif kerajaan Sarawak sebagai yang pertama telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan SPRM sejak Januari 2017.

“Sarawak sudah pun bergerak ke arah itu dan turut mendapat pengiktirafan SPRM apabila semua anggota kabinet Sarawak menjadi kabinet pertama menandatangani IBR dengan SPRM pada Januari 2017.

“Malah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebenarnya sudah pun mengarahkan semua Ahli-Ahli Parlimen GPS supaya turut mengisytiharkan harta,” katanya.

Menyatakan pandangan peribadi, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata amat memandang serius isu memerangi rasuah.

Malah ketika dilantik menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 2013 dahulu, langkah pertama beliau ambil ialah menandatangani Memorandum Persefahaman ke Arah Pembanterasan Rasuah dengan SPRM.

MoU antara KKR dan SPRM ditandatangani pada 1 Julai 2013 itu menjadikan KKR kementerian pertama di Malaysia menandatangani perjanjian ‘Integrity Pact’ dengan SPRM.

“Ini membuktikan kita di dalam GPS sentiasa memandang serius isu rasuah dan salah guna kuasa serta menyokong sebarang usaha ke arah membanterasnya hingga ke akar umbi,” tegasnya.