DARO: Selepas tiga hari dilaporkan hilang, akhirnya mayat seorang kapten kapal  yang terjatuh dari kapalnya Isnin lalu, ditemui pada jam 11 pagi tadi.

Pemangku Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, mayat Lembodaran Nair Jayalatha Indrajith, 26, dijumpai terapung di Batang Muara Lassa kira-kira  500 meter dari lokasinya dipercayai terjatuh.

“Pasukan pencari dan menyelamat (SAR)  diagih kepada dua kumpulan dengan kekuatan keseluruhan seramai 39 orang.

“Bomba menggunakan sebuah bot penyelamat  dan dibantu sebuah bot Angkatan Pertahanan Malaysia (APM). Kita menggunakan kaedah pencarian di permukaan air menyelusuri Batang Lassa sehingga mayat mangsa ditemui.  Mayatnya kemudian diserah kepada pihak polis sebagai tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian 10.15 pagi Isnin lalu, mangsa dikatakan berjalan di tepi kapal sebelum tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.

Dua rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian itu cuba menyelamatkannya namun gagal.Susulan itu rakan mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis.