MATU: Rumah panjang Melanau terletak di Kampung Sok Matu bakal dibaikpulih dalam usaha kerajaan untuk mengekalkan satu-satunya warisan Melanau yang sarat dengan sejarah itu.

Satu lawatan kerja khas dilakukan oleh pihak Muzium Sarawak, semalam, bagi meninjau keperluan sebenar konservasi dan pembaikan bangunan bersejarah yang sudah didaftarkan di bawah Ordinan Heritage Sarawak itu.

Lawatan kerja yang diketuai Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Suria Bujang turut disertai Pengerusi Lembaga Adat Melanau, Datuk Aidan Wing, Kementerian Pelancongan Sarawak, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching Mukah dan Daro, Jabatan Tanah dan Survei Mukah, Mahkamah Bumiputera dan Pejabat Daerah Matu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya memberitahu, pihak Muzium menyatakan komitmen untuk melaksanakan konservasi sebaik yang mungkin agar pelancong dari luar datang melihat sejarah warisan Melanau itu.

Bahkan jika berjaya katanya, usaha untuk mendaftarkan warisan Melanau itu di peringkat tertinggi antarabangsa, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris boleh dilakukan.

“Ini adalah hasil susulan kajian pembaikan yang saya arahkan agar dibuat oleh pihak Pejabat Daerah Matu dan Pejabat JKR Matu Daro pada tahun 2018.

“Pada Mac 2019 saya mengemukakan kertas kerja yang disediakan hasil kajian itu kepada Ketua Menteri. Alhamdulillah Ketua Menteri meluluskan peruntukan untuk konservasi penuh bangunan bersejarah ini. Susulan kelulusan tersebut satu mesyuarat peringkat pengurusan tertinggi telah diadakan di Kuching April 2019. Mesyuarat susulan telah diadakan di Mukah. Setelah itu lawatan ke bangunan bersejarah ini dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook beliau, semalam.

Juanda (empat kanan) menerangkan sesuatu kepada rombongan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli Rumah Panjang Melanau memberikan sokongan dan mengenepikan kepentingan peribadi bagi memastikan rumah bersejarah tersebut terus terpelihara.

Sambil meluahkan kegembiraan, Juanda juga berharap pihak Muzium Sarawak agar merealisasikan hasrat untuk mewujudkan muzium hidup bagi komuniti Melanau dalam rumah panjang berkenaan.

“Segala yang berkaitan Melanau di kawasan ini akan dipamerkan di Rumah Panjang ini kelak. Inilah peluang untuk kita semua di kawasan ini merealisasikan hasrat dan cita-cita selama ini yang mahu melihat bangunan bersejarah ini diberi tempat yang sepatutnya,” katanya.

Rombongan mengabadikan kenangan beramai-ramai sejurus selesai mengadakan lawatan ke rumah panjang Melanau Sok, semalam.