KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan bantuan khas Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak kepada semua penjawat awam negeri ini.

Berita gembira diumum dalam satu kenyataan Pejabat Ketua Menteri yang memaklumkan, Kerajaan Sarawak bersetuju memberi bonus sebanyak RM500 kepada penjawat Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak termasuk mereka yang masih berkhidmat sebelum atau pada 31 Mei ini.

Menurut kenyataan tersebut juga, bantuan khas itu merangkumi Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri sempena musim perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri yang akan dibayar pada 23 Mei ini.

Rata-rata penjawat awam di negeri ini melahirkan rasa syukur dan gembira apabila mengetahui mengenai bantuan khas tersebut.

Suara Sarawak semalam mendapatkan reaksi daripada penjawat awam mengenai pemberian wang berkenaan.

Bagi Sukarni Abu Kassim, 32, mulanya menganggap kenyataan yang tular dalam media sosial itu sebagai tidak benar kerana baru-baru ini Ketua Menteri memberitahu tiada Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak bagi penjawat awam negeri tahun ini.

“Apabila membaca akhbar semasa persidangan Dun baru-baru ini, beliau menyatakan tiada bonus kepada penjawat awam di Sarawak, saya akur.

“Justeru, apabila mengetahui kesahihan berita hari ini, saya berasa sangat gembira kerana pastinya bantuan ini sedikit banyak dapat membantu meringankan beban terutama menjelang Hari Raya,” jelasnya.

Sementara Hermi Kasmin, 31, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan menyifatkan bantuan khas tersebut amat bermakna.

“Syukur kerana diberikan bonus lagi tahun ini.

Sebagai penjawat awam baharu, bantuan RM500 itu pastinya dapat meringankan beban lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya sudah semakin dekat.

Pastinya bantuan ini dapat membantu. Terima kasih Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Bagi Nurul Athirah Ahmad Tarmizi, 30, dia bersyukur dengan keprihatinan kerajaan dan bantuan kewangan itu pastinya mampu meringankan beban penjawat awam.

“Saya merasakan, bonus diberikan ini sangat membantu dalam suasana ekonomi buat masa ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak. Sedikit sebanyak bantuan ini dapat membantu dalam persediaan menyambut Hari Raya,” katanya.

Sementara itu, Razif Mostafa, 36, berkata, bantuan khas kewangan berkenaan sekali gus memberi kelegaan kepada penjawat awam.

“Alhamdulillah, dengan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 diumumkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban bagi penjawat awam menyambut Hari Raya dan Gawai Dayak.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana prihatin dan sering mendengar rintihan penjawat awam di Sarawak. Terima kasih sekali lagi,” jelasnya.

Manakala, Suryani Mahsan, 52 berkata, bantuan kewangan diterima itu akan digunakan bagi membeli barang keperluan dan persiapan Hari Raya tidak lama lagi.

Menurutnya, dia berterima kasih dengan bantuan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban penjawat awam di negeri ini.

Sementara itu, pemberian Bantuan Khas Kewangan 2019 membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak tidak pernah terlepas memberi bonus Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak kepada penjawat awam di negeri ini dan bantuan khas tersebut terus diberikan setiap tahun.

Pemberian Bantuan Khas Kewangan 2019 juga turut membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa menghargai sumbangan penjawat awam cukup setia dan berintegriti membantu membangunkan Bumi Kenyalang.