KUCHING: Penutupan sebahagian laluan Jalan Masjid yang dibuat oleh kontraktor pengubahsuaian Bangunan Yayasan Sarawak di sini, menyusahkan orang ramai dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di situ sejak lebih enam bulan lalu.

Adun Pending, Violet Yong berkata banyak aduan diterimanya daripada orang ramai berhubung perkara itu, terutama mereka yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Jalan Masjid.

Beliau berkata turut dimaklumkan tiada notis dikeluarkan oleh mana-mana pihak mengenai penutupan laluan berkenaan.

“Saya terkejut apabila melihat lebih separuh daripada permukaan jalan sudah dikorek,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak berkenaan, semalam.

Justeru, Violet mempersoalkan sama ada kontraktor terlibat mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi penutupan Jalan Masjid.

“Siapa yang memberi kebenaran mereka menutup jalan ini?”Adakah pelan bangunan dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk menggunakan separuh daripada jalan ini?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau berkata akan ke DBKU minggu depan untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara berkenaan.