KUCHING: Seramai 28 ahli Persatuan Pemandu Pelancong Sarawak (SKTGA) diketuai Setiausaha Kehormat, Edward Lim Ghim Ang melawat Majlis Perbandaran Padawan di sini, kelmarin.

Objektif lawatan adalah untuk meneroka produk pelancongan di kawasan Majlis Perbandaran Padawan.

Selain itu, lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan berkaitan pelancongan kepada pemandu pelancong di Sarawak.

Hadir menyambut ketibaan rombongan itu ialah Adun Batu Kitang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lo Khere Chiang.

Dalam ucapannya, Khere Chiang mengucapkan terima kasih kepada rombongan kerana sudi hadir ke Majlis Perbandaran Padawan, seterusnya berminat untuk mengetahui keistimewaan yang ada di Padawan.

“Kami merasa sangat gembira dan mengalu-alukan kedatangan anda semua ke Majlis Perbandaran Padawan.

“Saya berjanji untuk membantu anda bagi memastikan semua produk pelancongan yang terdapat di kawasan Padawan dapat dipamerkan kepada pelancong dalam dan luar negara,” jelasnya.

Khere Chiang turut menegaskan menjadi komitmen pihaknya untuk memastikan Padawan dikenali di dalam dan luar negara.

Terdahulu, rombongan telah diberi taklimat oleh Ketua Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Korporat Majlis Perbandaran Padawan Ng Siang Wei berkenaan destinasi dan tarikan pelancongan Padawan yang perlu dipertimbangkan apabila mereka membawa pelancong ke sini.

Selepas perasmian, mereka dibawa melawat ke Taman Loji Pitcher MPP terletak sejauh 0.5 kilometer dari Pejabat Majlis Perbandaran Padawan.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Datuk Ahmad Datuk Seri Ibrahim, Pemangku Timbalan Setiausaha Majlis Ita Ling dan kakitangan Majlis Perbandaran Padawan.